Images
  • rooney
    Bekas penyerang England yang kini mewakili pasukan Everton. (Gambar: Reuters)

Wayne Rooney ditahan polis, didakwa pandu dalam keadaan mabuk

BRITAIN: Penyerang pasukan bola sepak Everton Wayne Rooney didakwa dengan tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, menurut polis Britain hari ini (1 Sep).

Rooney, penjaring gol terbanyak pasukan England dan bekas kapten negara itu, ditahan polis dekat rumahnya di Cheshire, barat laut England, pada awal pagi tadi.

"Dia ditangkap sejurus selepas 2.00 pagi hari ini, selepas para pegawai menghentikan sebuah kereta VW Beetle berwarna hitam," menurut satu kenyataan polis.

Polis menambah Rooney yang berusia 31 tahun "didakwa dengan tuduhan memandu dalam keadaan mabuk."

Rooney dibebaskan dengan ikat jamin dan akan hadir di Mahkamah Majistret Stockport pada 18 September ini.

Sebelum itu, beliau dilihat mengambil gambar dengan pemain kriket Jack McIver di sebuah bar berdekatan rumahnya pada hari sebelumnya.

McIver berkongsi gambar itu di akaun Instagramnya sekitar 10.00 malam dengan komen: "International Break #legend".

Rooney mengumumkan beliau akan bersara daripada bola sepak antarabangsa minggu lalu setelah menjaringkan 53 gol semasa mewakili England sebanyak 119 kali.

Beliau membuat keputusan itu walaupun ditawarkan tempat oleh pengurus England Gareth Southgate bagi perlawanan kelayakan Pialan Dunia menentang Malta.

Musim ini juga, Rooney menyertai semula kelab Everton selepas kejayaan 13 tahun dengan pasukan gergasi Manchester United.

- AFP/RU/ru

Komen Anda?

Top