Images
  • tmj FAM
    Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Tunku Mahkota Johor tidak setuju Harimau Malaya bermain di Pyongyang

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju pasukan bola sepak kebangsaan ke Pyongyang bagi perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini.

Tunku Ismail berkata beliau memandang serius isu keselamatan pemain-pemain negara dan FAM berada dalam keadaan sukar untuk melepaskan pemain beraksi pada perlawanan tersebut kerana situasi kurang meyakinkan di Korea Utara itu.

"Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana. Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

"Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga US$50,000 dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia. Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada masa akan datang.

"Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di lokasi neutral demi keselamatan para pemain negara," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini (11 Mei).

TIADA SEKATAN PERJALANAN DIKELUARKAN SEJAUH INI

Tunku Ismail berkata beliau khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana kerana beliau mendapat maklumat daripada beberapa jurulatih yang pernah ke negara itu memberitahu situasi di sana agak teruk.

"Ini disebabkan kerana salah satu maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

"Seperkara lagi adalah berkenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekaligus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan," jelasnya.

Beliau berkata sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan dan itu tidak mencukupi untuk AFC menukarkan lokasi perlawanan asal ke lokasi neutral.

Biarpun beliau tidak bersetuju untuk skuad negara ke Pyongyang namun keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

"Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik. Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan," katanya. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top