Images
  • tmj
    Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini sah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). (Gambar: BERNAMA)

TMJ sah presiden FAM

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini sah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 hari ini (25 Mac).

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM Hamidin Mohd Amin pada Kongres ke-53 FAM yang bermula 10.15 pagi di Hotel Hilton Petaling Jaya.

Menurut Encik Hamidin, TMJ diumum menang jawatan presiden FAM tanpa bertanding selepas mendapat sokongan semua perwakilan.

"Dengan penarikan diri Tan Sri Annuar Musa, saya mencadangkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menang tanpa bertanding," katanya pada kongres berkenaan.

Cadangan berkenaan mendapat sokongan daripada semua perwakilan sebelum Encik Hamidin mengumumkan jawatan itu sah milik Tunku Ismail.

Encik Annuar, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menarik diri daripada pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden, 48 jam sebelum kongres bermula.

TMJ tanpa membuang masa melantik bekas jurulatih skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez menggantikan Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia.

Bagaimanapun, Encik Kim Swee diberi tanggungjawab mengendalikan skuad Bawah 23 kebangsaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Beliau juga menggariskan empat pelan jangka pendek termasuk menyemak serta melakukan audit ke atas akaun persatuan itu.

- BERNAMA/ru

Komen Anda?

Top