Sumbangan $500k FAS masih jadi tanda tanya; AFF enggan beri komen
Sudah lebih seminggu berlalu sejak kelab bola sepak tempatan Tiong Bahru FC (TBFC) didedahkan memberi sumbangan sebanyak S$500,000 kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) -melalui Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) - bagi pembangunan Sistem Pengurusan Bola Sepak (FMS).
SINGAPURA: Sudah lebih seminggu berlalu sejak kelab bola sepak tempatan Tiong Bahru FC (TBFC) didedahkan memberi sumbangan sebanyak S$500,000 kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) -melalui Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) - bagi pembangunan Sistem Pengurusan Bola Sepak (FMS).
Bagaimanapun, bagaimana sumbangan itu dilaksanakan masih menjadi tanda tanya, dengan kedua-dua ahli perniagaan, Bill Ng, pemilik TBFC, dan Setiausaha Agung FAS Einston Lee, memberikan keterangan yang bertentangan.
Ng, yang juga pengerusi kelab Liga S Hougang United, bertegas bahawa Lee yang meminta TBFC melakukan sumbangan tersebut.
Lee bagaimanapun, berkata bahawa mantan Presiden FAS Zainudin Nordin yang meminta sumbangan itu, dan menolak dakwaan memainkan peranan dalam isu berkenaan.
Tidak banyak yang diketahui tentang FMS. Setakat ini, AFF hanya mendedahkan dalam kenyataannya sebelum ini bahawa ia "adalah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan persatuan-persatuan bola sepak dan kelab-kelab... dalam bidang-bidang seperti penjanaan pendapatan, teknologi maklumat, tadbir urus korporat, dan penggunaan kemudahan."
AFF juga menyatakan bahawa pihaknya sudah menerima sumbangan tersebut dari FAS pada 4 November 2015, dan bahawa FMS dijangka dilancarkan dalam masa "sembilan hingga 12 bulan akan datang".
Salinan laporan tahunan AFF 2015 yang diperolehi Mediacorp tidak menunjukkan sebarang rekod berhubung sumbangan S$500,000 oleh FAS. FMS juga tidak disertakan dalam laporan tersebut.
Di sidang Jawatankuasa Kewangan dan Pemasaran (F&M) AFF yang diadakan di Grand Hyatt Hotel pada Ahad (23 Apr), Mediacorp bertanya seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Penolong Setiausaha Agung AFF Toh Sen Nee, untuk berkongsi lebih lanjut tentang sumbangan dan FMS tersebut.
Bagaimanapun, Toh berkata bahawa beliau tidak dapat memberikan sebarang komen dan meminta Mediacorp untuk mengajukan sebarang soalan kepada Naib Presiden AFF Khiev Sameth, yang juga merupakan timbalan pengerusi jawatankuasa F&M.
Namun, ketika dihampiri, Sameth, yang berasal dari Cambodia, bukan sahaja enggan menjawab pertanyaan, tetapi beliau juga menolak bahawa beliau menganggotai AFF meskipun baru sahaja keluar dari bilik sidang jawatankuasa F&M itu.
Kiriman emel dari Mediacorp kepada Setiausaha Agung AFF Dato Azzuddin Ahmad awal minggu ini dengan pertanyaan mengenai sumbangan tersebut juga tidak dibalas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.