Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan SEA: Kumpulan pertama atlit Team S'pore sudah pulang ke S'pura

Para atlit renang dan tenis meja Team Singapore dalam Sukan SEA disambut penuh meriah oleh para penyokong mereka di Lapangan Terbang Changi hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Aug 2017 09:53PM Dikemas Kini : 28 Aug 2017 12:07AM

SINGAPURA: Para atlit renang dan tenis meja Team Singapore dalam Sukan SEA disambut penuh meriah oleh para penyokong mereka di Lapangan Terbang Changi hari ini (27 Ogos).

Antaranya termasuk bintang renang Joseph Schooling dan adik-beradik Quah.

Yang bongsu, Quah Jing Wen, 16 tahun dilihat berpelukan dengan rakan-rakan sepasukannya setelah pesawat yang dinaiki mendarat sekitar tengah hari tadi di Terminal 2.

Jing Wen yang menewaskan kakaknya sendiri, Ting Wen, sekaligus menggenggam pingat emas dalam acara gaya kupu-kupu 100 meter semalam (26 Ogos), membantu Singapura memenangi pingat emas ke-44.

Beliau juga memenangi pingat emas dalam acara gaya kupu-kupu 200 meter, gaya bebas 4x100 meter, gaya bebas 4x200 meter dan rampaian 4x100 meter.

Quah Ting Wen dan Quah Jing Wen berkongsi dengan Mediacorp mengenai pengalaman Sukan SEA.

"Saya begitu gembira dengan prestasi saya. Pengalaman ini, berbanding dua tahun lalu, jauh berbeza kerana saya bertanding dalam tambahan enam acara. Jadi tekanannya juga lebih bagi saya namun saya seronok dan bertanding dengan kakak saya serta rakan-rakan sepasukan meninggalkan memori indah," kata Jing Wen.

Abang beliau, Zheng Wen, menambah walaupun kebolehan Jing Wen "lambat sedikit" dalam kalangan mereka tiga beradik, beliau gembira melihat adiknya "menunjukkan prestasi yang cemerlang pada masa yang tepat".

"Ini petanda baik bagi kerjaya beliau," kata Zheng Wen.

Schooling, yang meraih pingat emas dalam acara gaya kupu-kupu 50 meter dan acara pasukan, juga memuji perenang muda.

"Terdapat 10 perenang yang masih baru dalam pasukan kami dan saya rasa kebanyakan daripada mereka mencatat masa terbaik. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dan saya bangga dengan mereka. Saya ghairah mahu melihat apa yang boleh mereka kecap pada masa akan datang," kata perenang berusia 22 tahun itu.

PASUKAN LEBIH MUDA TUNJUK "PRESTASI BOLEH DITERIMA"

Skuad seramai 10 anggota bagi tenis meja juga pulang menaiki pesawat yang sama. Harapan pasukan itu untuk membawa pulang semua tujuh pingat emas di Sukan SEA meleset setelah terlepas peluang dalam acara beregu campuran dan pasukan lelaki.

Sungguhpun begitu, Presiden Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA), Ellen Lee, berkata pasukannya menunjukkan prestasi "sangat baik" dan pasukan lebih muda menonjolkan prestasi yang boleh diterima".

Feng Tian Wei, yang dikeluarkan dari STTA pada tahun 2016, juga gembira dengan prestasi solonya.

"Saya meraih pingat emas dalam tiga acara dan saya gembira. Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan," kata beliau.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan