Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan SEA: 4 rekod baru dicatat dalam acara renang

Empat rekod baru dicatatkan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil apabila acara renang membuka tirai semalam (21 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan SEA: 4 rekod baru dicatat dalam acara renang

Joseph Schooling pecah rekod Sukan SEA dalam acara 50m gaya kupu-kupu lelaki. (Gambar: Petikan skrin dari Toggle)

Diterbitkan : 22 Aug 2017 07:42AM Dikemas Kini : 22 Aug 2017 07:46AM

KUALA LUMPUR: Empat rekod baru dicatatkan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil apabila acara renang membuka tirai semalam (21 Ogos).

Rekod baru dicatatkan dalam acara 50m kuak lentang lelaki, 400m gaya bebas lelaki, 200m kuak lentang wanita dan 50m gaya kupu-kupu lelaki.

Tiga nama yang menjadi tumpuan iaitu perenang Malaysia Welson Sim, perenang sensasi Singapura Joseph Schooling dan perenang wanita Vietnam Nguyen Thi Anh Vien menepati sasaran apabila masing-masing mengukir catatan masa baru.

Welson, 20 tahun, meraih pingat emas dalam acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatat 3:50.26s, sekali gus memadam rekodnya di temasya 2015 di Singapura iaitu 3:53.97s.

Menurut Welson, beliau amat berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukannya walaupun yakin mampu membuat yang lebih baik jika ada perenang yang memberikan saingan di 100 meter atau 200 meter menuju garisan penamat.

"Aksi saya sangat cemerlang hari ini. Renangan saya jauh lebih pantas daripada yang biasa saya lakukan mungkin disebabkan saya gugup pada awalnya tetapi saya berjaya juga merangkul emas.

“Ini adalah masa terbaik saya. Seperti yang saya nyatakan, saya sedikit gugup. Mungkin saya boleh berenang lebih pantas jika ada yang memberi saingan kepada saya pada jarak terakhir 100m dan 200m,” katanya.

Welson sebelum ini pernah mengejutkan juara Olimpik 2016, Mack Horton dari Australia di Mare Nostrum Tour di Monaco apabila meraih emas dengan memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 3:49.48s pada Jun lalu.

Welson akan turun beraksi dalam acara 4x100m gaya bebas lelaki, sebelum kembali menggegarkan kolam Pusat Akuatik Nasional pada Rabu dalam acara 200m gaya bebas.

Aflah Fadlan Prawira dari Indonesia mencatat masa 3:54.15s untuk meraih pingat perak manakala Nguyen Huu Kim Son dari Vietnam meraih gangsa dengan catatan 3:54.20s.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara 50m kuak lentang lelaki, dari Indonesia I Gede Siman Sudartawa meraih emas selepas merekod masa 25.20s.

Catatan itu juga memperbaharui rekod Sukan SEA, 25.27s, yang dicatat perenang Singapura Quah Zheng Wen pada edisi di Singapura manakala perenang Vietnam Nguyen Thi Anh Vien memadam rekod lama acara 100m kuak lentang wanita dengan catatan 1:01.89s, berbanding rekod lama milik Tao Li dari Singapura 1:02.11s yang dicatatkan pada 2011.

Sementara itu, juara Olimpik Singapura, Joseph Schooling menepati ramalan selepas memperbaharui rekod Sukan SEA dalam acara 50m gaya kupu-kupu lelaki.

Beliau memadamkan rekodnya sendiri 23.49s, dengan catatan baru 23.06s bagi meraih emas pertama beliau bagi acara renang KL2017.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Saya boleh katakan bermula dengan baik dan berharap boleh melakukan lebih baik sepanjang temasya ini.

“Saya rasa gembira dapat kembali semula ke Malaysia dan mempunyai pasukan besar yang menyokong saya,” kata pemenang pingat emas Olimpik Rio yang berusia 22 tahun itu.

Schooling akan menyertai acara 4x100m gaya bebas lelaki esok.


Beliau dijangka menyertai acara 100m gaya kuku-kupu, 100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian pada temasya dwitahunan itu. 

Sumber : Bernama/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan