Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

SportSG minta penjelasan "penuh" FAS berhubung "jumlah derma yang besar"

Sport Singapore (SportSG) sudah meminta "laporan penuh dan memuaskan" daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berhubung cara ia menguruskan jumlah derma yang besar.

Anggaran Waktu Membaca:
SportSG minta penjelasan "penuh" FAS berhubung "jumlah derma yang besar"

Presiden FAS Zainudin Nordin bersama Naib Presiden Lim Kia Tong dan Edwin Tong (Gambar: Justin Ong)

Diterbitkan : 16 Apr 2017 11:27PM Dikemas Kini : 16 Apr 2017 11:28PM

SINGAPURA: Sport Singapore (SportSG) sudah meminta "laporan penuh dan memuaskan" daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berhubung cara ia menguruskan jumlah derma yang besar.

Badan sukan tempatan itu mendedahkan demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (16 Apr).

Kenyataan dari SportSG itu dibuat setelah pengerusi Hougang United Bill Ng mendedahkan beliau mendermakan $850,000 kepada FAS dan memberitahu pihak media bahawa badan bola sepak negara itu meminta beliau supaya menyumbang derma dan bukan tajaan bagi kelab yang tidak lagi berfungsi, iaitu Singa12.

Encik Ng, yang memimpin salah satu daripada dua pasukan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Majlis FAS memberitahu media bahawa FAS meminta beliau menyumbang derma kerana ia hanya memerlukan cek, sementara "banyak kontrak" diperlukan jika beliau memberikan tajaan.

FAS memberi respons terhadap komen-komen Encik Ng dengan menyifatkannya sebagai "tuduhan tidak berasas dan tidak benar".

Dalam kenyataannya hari ini, SportSG sudah meminta penjelasan berhubung cara FAS "menguruskan jumlah derma yang besar kepada atau menerusi FAS dan sumber serta pengurusan dana-dana tersebut".

"Sebagai pentadbir amal sektor sukan, SportSG memerlukan majlis baru itu menyerahkan laporan penuh dan memuaskan berhubung cara pengurusan perkara tersebut," kata seorang jurucakapnya.

SIASATAN KE ATAS KELAB 'YANG TIDAK IKUT SERTA'

Dalam kenyataan yang sama, SportSG turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah meminta kepada FAS pada bulan Februari 2016 supaya "memberikan penjelasan" mengapa bekas kelab Liga.S, Tanjong Pagar United, Gombak United dan Woodlands Wellington (WWFC) "dibenarkan melanjutkan tempoh sewa" di bangunan SportSG.

"Oleh kerana itu, Gombak United dan WWFC diarah mengosongkan premis di Stadium Bukit Gombak dan Stadium Woodlands pada bulan Jun 2016 kerana tidak ada sebab munasabah untuk mereka terus berada di sana," menurut kenyataan itu lagi.

Sebulan kemudian, SportSG meminta FAS supaya meneliti saranan menggabungkan WWFC dengan Hougang setelah berakhirnya musim Liga.S pada tahun 2014, yang akhirnya tidak menjadi.

"Menyusuli maklum balas orang ramai berhubung penggabungan WWFC dengan Kelab Bola Sepak Hougang United dan juga aduan tentang pengurusan keuntungan 'jackpot' di WWFC, Sport Singapore, pada bulan Mac 2016, meminta FAS supaya menjalankan siastaan untuk menjelaskan duduk perkara sebenar, membetulkan perkara-perkara yang tidak kena dan menyerahkan laporannya kepada SportSG," tambah kenyataan itu.

SportSG masih menunggu keputusan siasatan ke atas kelab-kelab Liga.S "yang tidak ikut serta", yang dikatakan mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangka, sebelum membuat keputusan bagi tindakan susulan.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan