Images
  • sorakan kallang
    Gambar fail TODAY.

‘Sorakan Kallang’ kembali bergema di Stadium Negara selepas FAS meterai perjanjian dengan Hab Sukan S’pura

SINGAPURA: “Sorakan Kallang” dijangka kembali bergema di Stadium Negara selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan kerjasama dengan Hab Sukan Singapura semalam (16 Nov) yang akan menjadikan Hab Sukan Singapura yang menelan belanja S$1.33 bilion untuk dibina sebagai “Home of the Lions”.

Satu memorandum persefahaman bakal dimeterai bagi perjanjian antara 2018 hingga 2020 yang akan menyaksikan stadium yang boleh menampung seramai 55,000 penonton itu menjadi tuan rumah kepada tujuh hingga 10 perlawanan setiap tahun.

Ini termasuk Piala Sumbangsih, Piala Liga, Piala Merlion, Piala Persekutuan Bola Sepak Suzuki Asean dan Piala Cabaran Wanita diadakan tahun depan.

Bagi mengukuhkan jenamanya sebagai tuan rumah bola sepak Singapura, lawatan berpandu yang merangkumi perkampungan pemain akan disediakan termasuk peluang untuk meninjau-ninjau bilik salin yang dihiasi dengan jersi-jersi pemain negara.

Selain itu, sesi pendampingan dan pesta bola sepak akan dianjurkan untuk para penyokong pasukan Singa.

Presiden FAS Lim Kia Tong amat gembira dan berbesar hati kerana pasukan negara akan dapat menjadikan Hab Sukan Singapura sebagai padang pasukan tuan rumah: “Apabila kami mempunyai stadium yang dikhaskan untuk pasukan negara, apabila pemain muda menyaksikan pasukan Singa dilayan sedemikian rupa, ia akan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi pemain kebangsaan pada satu hari nanti,” kata Encik Lim di sidang media selepas Kongres Tahunan FAS semalam (16 Nov). 

- TODAY/SM/sm

Komen Anda?

Top