Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Setiausaha Agung FAS janji beri kerjasama penuh susuli serbuan CAD

Winston Lee, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berjanji memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, sehari setelah beliau disoal siasat oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD).

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung FAS janji beri kerjasama penuh susuli serbuan CAD

Setiausaha Agung FAS, Winston Lee (kiri). (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 22 Apr 2017 05:26PM Dikemas Kini : 22 Apr 2017 05:29PM

SINGAPURA: Winston Lee, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berjanji memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, sehari setelah beliau disoal siasat oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD).

Encik Lee, mantan presiden FAS Zainudin Nordin, Pengerusi Hougang United Bill Ng dan isteri beliau Bonnie Wong dilaporkan disoal siasat oleh pihak berkuasa lewat malam Khamis (20 Apr), hari yang sama serbuan-serbuan dilancarkan ke atas kelab Tiong Bahru FC (TBFC), Woodlands Wellington dan Hougang United serta pejabat FAS.

Dengan raut wajah yang kelihatan letih, Encik Lee berkata: "Buat masa ini siasatan sedang dijalankan, oleh itu tidak wajar untuk saya memberikan komen lanjut.

"Namun kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa."

Encik Lee, 52 tahu, berkata demikian selepas satu sidang media yang diadakan oleh FAS untuk mendedahkan Amino Vital Ajinomoto sebagai penaja baru Liga Bola Sepak Negara serta logo baru NFL.

Encik Lee memilih untuk memberi komen selepas pegawai perhubungannya Dominic Leong meminta pihak media supaya bertanya soalan berkaitan sidang media tersebut dan bukan serbuan itu.

Serbuan ke atas ibu pejabat FAS dan tiga kelab bola sepak di Stadium Hougang, People's Park Centre dan Prinsep Street dijalankan setelah Sport Singapore (SportSG) memfailkan aduan polis pada Rabu (19 Apr) terhadap TBFC kerana disyaki menyalahgunakan dana kelab serta percubaan seorang pegawai, yang dipercayai Encik Ng, untuk menghalang kerja-kerja audit diselesaikan ke atas kelab-kelab Liga.S yang tidak turut serta.

Para pegawai polis menjalankan serbuan selama empat jam di empat premis tersebut dan kemudian dilihat membawa keluar kotak-kotak yang mengandungi fail, dokumen serta komputer ke dalam kenderaan mereka pada awal pagi.

Polis turut membawa sebuah bas ke Stadium Hougang untuk mengambil kotak-kotak dokumen.

Encik Ng dan Encik Lee sudah mula bertikam lidah sejak hari Khamis (20 Apr) lalu setelah Encik Ng mendedahkan beliau mendermakan $500,000 kepada FAS. Wang itu dilaporkan digunakan untuk menyokong Sistem Pengurusan Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Asean.

Wang itu menyebabkan SportSG menyiasat kes tersebut dan setelah menjalankan beberapa pemeriksaan lanjut, badan sukan negara itu memutuskan untuk memfailkan aduan polis kerana ia "mengesyaki terdapat kes penyalahgunaan dana Kelab Bola Sepak Tiong Bahru".

Menurut rekod-rekod yang diperolehi, kelab TBFC di People's Park Centre meraih pendapatan kasar sebanyak $36.7 juta pada Tahun Kewangan 2015/2016, dengan keuntungannya sekitar $600,000.

Cik Wong adalah antara mereka yang disoal siasat lewat hari Khamis kerana beliau disenaraikan sebagai wakil sah Polygon Ventures, pemilik unit besmen di People's Park Centre yang menjadi pejabat TBFC.

Menurut Penguasa Kawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA), Cik Wong disenaraikan sebagai wakil sah Polygon Ventures Pte Ltd, syarikat dagangan borong yang juga pemilik sebuah unit besmen di People's Park Centre di mana pejabat TBFC ditempatkan. Cik Wong berkongsi alamat rumah yang sama dengan Encik Ng.

Pada hari Khamis, Mediacorp melaporkan TBGC membayar sewa hampir $960,000 kepada Polygon Ventures pada Tahun Kewangan 2015/2016. Ini bermakna sekitar $80,000 sebulan. 

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan