Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Selepas 15 tahun, Martyn Danial Hazwan Armada, berjaya wakili S'pura dalam Sukan SEA 2017

"Kawan-kawan, keluarga saya yang beri saya motivasi untuk tidak berputus asa dan kerana saya sudah menyertai sukan ini selama 15 tahun, saya tidak mahu berputus asa, rugilah," ujarnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas 15 tahun bergiat dalam sukan gimnastik, Martyn Danial Hazwan Armada, akhirnya berjaya mendapat tempat untuk mewakili Singapura dalam Sukan SEA ke-29 bulan depan.

Perjalanannya untuk merebut peluang keemasan itu penuh onak dan duri sehinggakan atlit berusia 22 tahun itu hampir-hampir berundur daripada sukan tersebut pada 2013.

SANGGUP TANGGUH PELAJARAN

Anak muda itu bukan saja menangguhkan pelajarannya di Raffles Institution, bahkan sanggup tidak menduduki peperiksaan GCE A semata-mata untuk berlatih sepenuh masa.

Ketika itu, Martyn Danial menumpukan perhatian kepada Sukan SEA 2015 kerana sangat-sangat mahu mewakili negara.

Malangnya, beliau hanya dijadikan ahli simpanan dalam pasukan negara semasa temasya sukan itu diadakan di Singapura, dua tahun lalu.

Namun, Martyn Danial tidak sekali-kali berputus asa.

Berkat sokongan rakan-rakan sepasukannya, Martyn kini berpeluang mengharumkan nama negara dalam keenam-enam kategori acara perseorangan yang bakal ditandinginya.

"Kawan-kawan, keluarga saya yang beri saya motivasi untuk tidak berputus asa dan kerana saya sudah menyertai sukan ini selama 15 tahun, saya tidak mahu berputus asa, rugilah," ujarnya.

Martyn (tengah) bersama rakan pasukannya. (Gambar: Facebook/ Martyn Danial)

TIDAK SABAR BUKTIKAN KEUPAYAANNYA

Atlit yang bakal melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan Sains Sukan selepas Sukan SEA, berlatih enam kali seminggu, lima jam setiap kali.

Mengimbas kembali pengorbanannya dalam sukan ini, Martyn tidak sabar untuk membuktikan keupayaannya di Kuala Lumpur bulan depan.

"Saya akan memberi persembahan yang terbaik dan akan cuba membanggakan rakyat-rakyat Singapura, Insya-Allah," tambah beliau.

Pasukan gimnastik Singapura bakal beraksi di Sukan SEA dalam kurang 21 hari lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan