Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Petinju MMA Angela Lee terselamat daripada kemalangan teruk

Atlit seni pertahanan diri campuran (MMA), Angela Lee, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Hawaii, dedah pengasas dan pengerusi ONE Championship Chatro Sityodtong.

Anggaran Waktu Membaca:
Petinju MMA Angela Lee terselamat daripada kemalangan teruk

Gambar: ONE Championships / Twitter

Diterbitkan : 08 Nov 2017 08:53PM Dikemas Kini : 08 Nov 2017 08:58PM

SINGAPURA: Atlit seni pertahanan diri campuran (MMA), Angela Lee, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Hawaii, dedah pengasas dan pengerusi ONE Championship Chatro Sityodtong.

"Juara dunia ONE kelas atomweight Angela Lee terlibat dalam kemalangan kereta yang buruk semalam dengan keretanya terbalik sebanyak lima hingga enam kali menurut pihak polis," tulis Sityodtong dalam catatan Facebooknya hari ini (8 Nov).

Kemalangan tersebut berlaku semalam (7 Nov).

Beliau turut menambah bahawa Cik Lee sedang memandu dalam perjalanan ke gim bagi sesi latihannya waktu pagi apabila beliau terlelap semasa memandu.

"Mujur, beliau hanya mengalami konkusi, sedikit kelecuran dan badan terhempit," kata beliau. "Jika beliau tidak mengenakan tali keledar, mungkin ia menjadi satu cerita yang berbeza."

Encik Sityodtong menambah bahawa beliau lihat sendiri gambar-gambar kereta yang remuk dan menyifatkannya sebagai "betul-betul remuk". Menurutnya lagi, pihak polis menyatakan kereta tersebut tergolek sebanyak lima atau enam kali.

Bapa Cik Lee, yang juga jurulatihnya, Ken Lee, mendedahkan kepada agensi berita Hawaii khon2.com bahawa kemalangan itu berlaku di pulau Oahu apabila kereta yang dipandu Cik Lee terlanggar hadangan di lebuh raya.

"Axel kereta patah dan ia bergolek lima hingga enam kali hampir 100 meter dan berakhir di bahagian bertentangan lebuh raya tersebut," menurutnya ditukil laman akhbar tersebut.

Tambahnya ia merupakan satu keajaiban beliau terselamat dan kini sedang pulih di rumah.

Encik Sityodtong turut mengesahkan bahawa Cik Lee tidak akan bertanding dalam acara ONE Championship Immortal Pursuit yang dijadualkan akan berlangsung pada 24 November di Singapura. Beliau dijadual bertarung dengan Mei Yamaguchi dari Jepun untuk mempertahankan kejuaraan kelas atomweight.

Pertandingan itu disifatkan ONE sebagai ulangan "Bout of the Year 2016" di mana Cik Lee mengalahkan Yamaguchi pada bulan Mei tahun lalu lantas menjadikannya pemenang termuda MMA.

Cik Lee dilamar seorang lagi atlit ONE Championship Bruno Pucci bulan lalu, dan mereka kini menetap di Hawaii.  

Sumber : CNA/FA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan