Images
  • Swimming
    Joseph Schooling di Olimpik Rio 2016. (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)

Persatuan Renang S'pura lantik ketua jurulatih baru

SINGAPURA: Persatuan Renang Singapura (SSA) akan melantik ketua jurulatih baru dan pengarah prestasi untuk mempertingkat mutu para jurulatih dan perenang di peringkat kelab dan elit.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan prestasi tinggi SSA bagi jangka lima tahun yang diumumkan hari ini (7 Mac).

Ia bertujuan untuk mewujudkan lebih ramai perenang bertaraf dunia.

Ketua jurulatih negara dan pengarah prestasi yang baru juga akan memperhalusi proses pemilihan para atlit dan program latihan di Pusat Latihan Negara (NTC). Ketua jurulatih NTC, Gary Tan dan pengarah teknikalnya Sonya Porter akan diletakkan di bawah kepimpinan jurulatih dan pengarah baru itu.

SSA menambah pihaknya sekarang sedang berunding dengan para calon yang sesuai supaya menggalas jawatan itu sepenuh masa.

Meskipun terdapat kejayaan-kejayaan bertaraf antarabangsa yang dicapai oleh perenang negara Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen baru-baru ini, SSA akur laluan para atlit elit dan jurulatih boleh diperkukuh.

"Banyak yang boleh kita semua banggakan, tetapi kita mesti fokus untuk terus membangunkan ekosistem yang lebih kukuh bagi sukan renang prestasi tinggi yang akan memastikan kejayaan yang berterusan dan masa depan yang lebih cerah bagi sukan renang Singapura," menurut Presiden SSA Lee Kok Choy.

SUKATAN NASIONAL BAGI LATIHAN, KLASIFIKASI KELAB

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempertingkat keupayaan para jurulatih dan atlit, SSA akan memperkenalkan sukatan latihan pada semua peringkat dan melancarkan sistem ujian kecekapan renang peringkat nasional yang diberi nama Anugerah Kecekapan Renang Singapura (SSPA) bagi mencungkil bakat baru.

Cik Porter akan mengetuai satu program bagi mengenal pasti para atlit yang berpotensi menjadi perenang elit, dengan sasaran untuk meningkatkan penyertaan di Sukan Asia dan Olimpik 2020 di Tokyo, menurut SSA.

Mengiktiraf kelab-kelab adalah "sebahagian penting" pembangunan para atlit elit dan persatuan itu menyatakan pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan kelab-kelab berkaitan.

Kelab-kelab juga akan diletakkan dalam beberapa kategori - Emas, Perak dan Gangsa - berdasarkan jumlah atlit negara yang dilatih.

Berdasarkan kategori tersebut, kelab-kelab akan menerima manfaat dari pelbagai peringkat, seperti geran dan peluang-peluang untuk menyertai rundingan dan sesi perbincangan bersama para pakar dan ketua jurulatih yang mengadakan lawatan.

Selain itu, SSA menyatakan pihaknya sedang menimbangkan untuk mengukuhkan pasukan-pasukan bagi acara renang berganti-ganti di peringkat Asia dan Dunia, di samping menyediakan sokongan bagi individu-individu yang berbakat.

"Pelan pembangunan prestasi tinggi SSA membuka laluan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada jangka panjang, membolehkan kami meningkatkan bukan sahaja penyertaan, tetapi juga sasaran pingat di acara Sukan SEA, Sukan Asia yang akan datang dan juga Olimpik 2020 di Tokyo," kata Encik Lee. 

- CNA/nk

Komen Anda?

Top