Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemenang pingat emas Sukan SEA dapat S$670,000

Sebanyak S$670,000 diberikan kepada para pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, melalui Program Anugerah Jutaan Dolar Majlis Sukan Olimpik Kebangsaan (SNOC) semalam (5 Okt)

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Oct 2017 11:47AM Dikemas Kini : 06 Oct 2017 11:52PM

SINGAPURA: Sebanyak S$670,000 diberikan kepada para pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, melalui Program Anugerah Jutaan Dolar Majlis Sukan Olimpik Kebangsaan (SNOC) semalam (5 Okt).

Program tersebut memberi ganjaran kepada para pemenang Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Para atlit menerima bayaran tunai berdasarkan peringkat pertandingan dan pingat yang dimenangi.

Wang tunai yang diterima para pemenang Sukan SEA dihadkan kepada maksimum 3 pingat emas bagi acara individu. Mereka menerima S$10,000 bagi pingat emas pertama dan S$5,000 setiap satu bagi pingat-pingat seterusnya.

Para pemenang dalam acara berpasukan mendapat S$15,000 untuk dikongsi sesama mereka, manakala mereka yang mewakili sukan berpasukan menerima S$30,000. Dana bagi anugerah tersebut ditaja oleh Tote Board Family.

Perenang-perenang negara, Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen mendahului carta kemenangan dengan membawa pulang S$31,250 - jumlah tertinggi yang diberikan tahun ini - bagi kemenangan dalam tiga acara individu dan tiga acara berpasukan di temasya sukan itu. 

Walau bagaimanapun, 20 peratus daripada jumlah yang diberi itu akan disumbang semula kepada persatuan-persatuan sukan di peringkat Sukan SEA masing-masing.

Dalam ucapannya di jamuan malam majlis penghargaan para atlit semalam, Presiden SNOC, Tan Chuan-Jin mengucapkan tahniah kepada para atlit atas pencapaian mereka, serta mengucapkan terima kasih kepada keluarga, majikan dan para jurulatih atas sokongan mereka.

"Di sebalik setiap rekod, pingat, skor dan atlit, terdapat ahli keluarga, sahabat handai dan juga orang-orang tidak dikenali yang menyokong dan menghiburkan para atlit dan pegawai kami. Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada anda semua," kata Encik Tan yang juga Speaker Parlimen. "Usaha anda telah menyumbang kepada kejayaan pasukan ini."

Pasukan Singapura meraih 57 pingat emas, 58 perak dan 73 gangsa dalam Sukan SEA tahun ini - prestasi terbaik di luar negara bagi temasya sukan tersebut.
 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan