Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pasukan hoki S'pura intai pingat emas Sukan SEA 2017

Skuad hoki negara akan berangkat ke Kuala Lumpur hujung minggu ini untuk membiasakan diri dengan gelanggang yang bakal menyaksikan pertarungan sengit bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan hoki S'pura intai pingat emas Sukan SEA 2017

Pasukan hoki negara yang akan beraksi di Sukan SEA KL 2017. (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Skuad hoki Singapura sedia untuk merampas kejuaraan daripada tuan rumah temasya sukan itu di padang mereka sendiri bulan depan.

Ini setelah ia tewas kepada pasukan Malaysia dalam perlawanan akhir penuh emosi dua tahun lalu.

Bagi tujuan itu, beberapa perubahan dibuat Persekutuan Hoki Singapura (SHF) demi meningkatkan lagi prestasi mereka.

BEBERAPA PERUBAHAN DILAKUKAN SHF

Antara perubahan yang dibuat SHF ialah melantik K. Rajan untuk menggantikan Soloman Caroosjee sebagai jurulatih skuad negara sejak Ogos tahun lalu.

Selain itu, enam bekas pemain hoki negara yang sudah bersara dipanggil semula untuk membantu membangunkan skuad negara.

(Gambar-gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

Muhd Sabri Yuhari, 27 tahun, antara yang menyahut seruan untuk mengharumkan nama negara.

Beliau bakal mewakili Singapura di Sukan SEA buat kali kelima.

Sejak Mac lalu, Sabri gigih berlatih empat kali seminggu, di samping bekerja sepenuh masa sebagai seorang jurulatih di beberapa sekolah.

"Motivasi saya untuk kembali ke skuad negara untuk menyumbang kembali kebolehan saya dan juga pengalaman saya untuk menguatkan skuad negara kami," kata Sabri.

K. Rajan, jurulatih skuad negara yang mempunyai pengalaman 28 tahun di Malaysia, Thailand dan kini, Singapura, yakin dengan prestasi pasukannya.

ADA "SENJATA RAHSIA"

"Kekuatan kita sekarang kita ada penguis bola. Ada empat. Kalau anda tahu hoki, kalau ada penguis bola boleh menang perlawanan," kata Encik Rajan.

Kapten pasukan, Enrico Abdul Latif Marican, yakin pasukan yang dipimpinnya sejak lima tahun ini mampu memberi persaingan hebat kepada lawan utama mereka iaitu pasukan Malaysia.

Enrico memberitahu BERITAMediacorp: "Sepanjang persiapan kami, pasukan Singapura telah banyak meningkat. Antaranya adalah dari segi teknikal dan kerjasama antara pemain-pemain pasukan."

Skuad hoki negara akan berangkat ke Kuala Lumpur hujung minggu ini untuk membiasakan diri dengan gelanggang yang bakal menyaksikan pertarungan sengit bulan depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan