Images
  • women fas
    Pasukan bola sepak wanita Singapura. (Gambar: Facebook/ Football Association of Singapore)

Pasukan bola sepak wanita S'pura tumpas 0-1 kepada M'sia

SHAH ALAM: Pasukan bola sepak wanita Malaysia menewaskan pasukan wanita Singapura 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium Mini UiTM malam Rabu (9 Ogos).

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga sebaik wisel pertama ditiup oleh pengadil Muhammad Zamzaidi Katimin dengan beberapa serangan dilancarkan ke atas kubu masing-masing.

Namun barisan serangan Malaysia menyaksikan sekurang-kurangnya dua peluang terhidang gagal disempurnakan dan tiada jaringan dihasilkan sehingga masa rehat.

Pasukan Malaysia yang dibimbing Mohd Asyraaf Fong Abdullah yang berada di ranking ke-80 dunia itu memecah kebuntuan pada minit ke-49 setelah rembatan mengelirukan Usliza Usman dari sebelah kiri menerjah gawang gol Singapura yang dikawal oleh Nur Fadhillah Hassan.

Selang 10 minit selepas jaringan pertama, penyerang Malaysia, Daddree Rofinus hampir menambah jaringan namun rembatan kencang beliau berjaya ditepis Nur Fadhillah.

Pasukan Singapura di bawah kendalian K. Balagumaran turut mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan namun ketangkasan penjaga gol Malaysia Nurul Azurin Mazlan berjaya menafikan usaha itu.

Asakan demi asakan pasukan wanita Harimau Malaya untuk menambah jaringan bagaimanapun gagal disudahkan barisan penyerang dan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

- BERNAMA/RU/ru

Komen Anda?

Top