Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pasukan bola sepak M'sia perlu teruskan beraksi di Pyongyang, kata bekas naib presiden FAM

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata pasukan negara tidak perlu bimbang kerana keputusan dibuat AFC itu mengambil kira semua aspek terutama membabitkan keselamatan pemain.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan bola sepak M'sia perlu teruskan beraksi di Pyongyang, kata bekas naib presiden FAM

Gambar fail pasukan bola sepak negara Malaysia. (Gambar: AFP/Ted Aljibe)

Diterbitkan : 15 May 2017 09:23PM Dikemas Kini : 15 May 2017 09:24PM

IPOH: Perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2019 melibatkan Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun ini, wajar diteruskan sepertimana arahan dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada awal bulan ini.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata pasukan negara tidak perlu bimbang kerana keputusan dibuat AFC itu mengambil kira semua aspek terutama membabitkan keselamatan pemain.

"Bagi saya, keputusan dibuat AFC itu perlu dipatuhi, dan kalau kita lihat kepada faktor politik sekali pun, hubungan antara Malaysia dan Korea Utara telah reda tanpa sebarang pertikaian serius.

"Justeru, saya rasa tiada apa yang perlu dibimbangkan dan pemain perlu menunjukkan komitmen terbaik semasa beraksi nanti," katanya ketika ditemui Bernama di Kelab Diraja Ipoh hari ini (15 Mei).

Sebelum ini pada 11 Mei lalu, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan dan Korea Utara di Pyongyang diteruskan seperti mana arahan AFC.

Keputusan itu berdasarkan kebimbangan baginda terhadap faktor keselamatan dan kemudahan pemain berikutan ada beberapa jurulatih bola sepak asing pernah merungut tentang layanan buruk yang diterima mereka sepanjang berada di Korea Utara.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin berkata sekiranya pasukan kebangsaan tidak meneruskan aksi di Pyongyang, ​​beliau bimbang FAM akan berdepan tindakan denda AS$50,000 (S$70,000) selain tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan dianjurkan AFC.

"Jadi saya fikir, kita perlu teruskan dan kalau kejadian tidak diingini berlaku, AFC perlu bertanggungjawab selaku pihak yang menganjurkan perlawanan itu," katanya.

Beliau juga berharap pemain negara akan mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan berkenaan, dan tidak terganggu dengan masalah yang berlaku sebelum ini, melibatkan kedua-dua negara.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan