Images
  • ridhwan
    Petinju Singapura Muhamad Ridhwan Ahmad. (Gambar fail: TODAY)

Muhamad Ridhwan juara pertama S'pura bagi kejohanan dunia UBO

SINGAPURA: Petinju Singapura, Muhamad Ridhwan “The Chosen One” menjadi juara dunia pertama dari Singapura.

Ridhwan, 29 tahun, menumbangkan jaguh Persatuan Tinju Dunia Tanzania (WBA) Fadhili Majiha menerusi KO selepas empat pusingan untuk menjuarai Universal Boxing Organisation (UBO) bagi kategori super-featherweight dunia (58.97kg).

“Perasaan saya bercampur-campur sekarang tetapi paling penting adalah saya gembira dan berupaya membuat para peminat bangga, rakyat Singapura bangga dan ia merupakan perasaan yang hebat,” jelas Ridhwan selepas pertarungan itu. “Saya begitu terharu untuk memberikan kemenangan ini kepada mereka.”

Ridhwan mengatasi cabaran-cabaran dalam satu pertarungan yang sengit dengan Majiha, 23 tahun, yang mencatat 20 kemenangan sejauh ini.

Ridhwan bertarung dengan agresif sejak pertarungan dimulakan sebagai sebahagian daripada strateginya untuk “menumpaskan” pesaingnya dari Tanzania itu.

Menurut Ridhwan, sokongan para penonton tempatan meningkatkan lagi keyakinannya. “Para penonton begitu hebat. Ia seolah-olah mereka bermain permainan komputer kerana kerap kali berteriak: ‘Terus asak!’.”

Dengan kemenangan di kejohanan Roar of Singapore II di Resorts World Sentosa semalam, ini bermakna Ridhwan, yang meraih tiga pingat gangsa Sukan SEA, kini memenangi kejuaraan profesionalnya yang kedua dalam tempoh tujuh minggu.

- CNA/hs

Komen Anda?

Top