Mayweather tundukkan McGregor dengan TKO - kini catat rekod tidak pernah kalah dalam 50 pertarungan
Floyd Mayweather membelasah petinju Ireland Conor McGregor menerusi kiraan 'technical knockout' atau TKO dalam pusingan ke-10 pertarungan hari ini (27 Ogos waktu Singapura).
LAS VEGAS: Floyd Mayweather membelasah petinju Ireland Conor McGregor menerusi kiraan 'technical knockout' atau TKO dalam pusingan ke-10 pertarungan hari ini (27 Ogos waktu Singapura). Ini adalah kemenangan yang ke-50 bagi Mayweather selaku petinju profesional!
Mayweather, yang kembali menguasai gelanggang, setelah bersara pada usia 40 tahun, memecahkan rekod 49-0 Rocky Marciano bagi kemenangan paling banyak tanpa kekalahan atau seri.
McGregor, juara seni bela diri campuran yang membuat penampilan sulung dalam arena tinju, gagal membuat sebarang kejutan besar dalam sejarah sukan tersebut. Meskipun demikian perlawanan itu tetap menarik berbanding yang dijangka kebanyakan pakar, di mana Mayweather akan menang mudah.
Selepas kemenangan ini, Mayweather berkata beliau akan bersara buat selama-lamanya, dengan rekod cemerlang 50-0.
Mayweather dijangka menerima AS$200 juta menyusuli kemenangan itu. Ini bermakna pendapatan kerjaya beliau adalah sekitar AS$1 bilion.
McGregor juga tidak pulang dengan tangan kosong dan dijangka menerima 'gaji' AS$100 juta daripada pertarungan tersebut.
Saksikan terus pertarungan yang begitu mendebarkan dan mencengkam perasaan antara Mayweather dengan McGregor, menerusi video berikut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.