Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai anak Melayu ceburi sukan lasak; ada yang semuda 8 tahun sudah berjinak-jinak dengan lumba motor pantai

Masyarakat Melayu sukakan cabaran meskipun sukan lumba motor pantai amat mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semakin ramai anak Melayu yang menceburi kegiatan sukan lasak. Ini terbukti semasa acara Perlumbaan Pantai MX Singapura 2017 yang diadakan buat julung-julung kalinya tahun ini.

Para pelumba yang menyertai acara itu berentap dalam 14 kategori mengikut usia, antara tujuh dengan 57 tahun. Selain tertarik dengan aksi-aksi mendebarkan ketika berlumba, setiap peserta juga mempunyai motivasi berlainan mengapa mereka mengambil bahagian.

BERITAMediacorp bertemu dengan dua anak Melayu yang menyertai acara tersebut untuk mengetahui bagaimana mereka boleh 'tersangkut' dengan sukan mencabar, seperti lumba motor pantai dan apa yang menjadi dorongan.

MAHU HAPUSKAN STEREOTAIP TERHADAP WANITA

Cik Nur Nasthasia Nadiah Abdul Nazzeer misalnya, mahu memecahkan stereotaip terhadap kaum Hawa. Lantaran itu, tidak hairanlah jika beliau melibatkan diri dalam sukan lumba pantai tersebut.

Cik Nasthasia memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau amat bersyukur atas sokongan yang diterimanya selama ini. “Keluarga saya memang menyokong kerana dari dulu saya memang mengambil bahagian dalam sukan lasak, seperti berbasikal," kata Cik Nasthasia, yang pertama kali menyertai pertandingan seperti itu.

Sejauh ini, beliau sudah membelanjakan sekitar S$4,000 dan kerap ke seberang tambak untuk berlatih. Justeru beliau menyambut baik apabila acara perlumbaan seumpama itu diadakan di Singapura. “Pada saya, ia menarik tetapi memang agak payah untuk melibatkan diri dalam sukan ini. Sebab, di Singapura tidak banyak tempat para pelumba berpeluang untuk berlumba," kongsi Cik Nasthasia.

Ternyata usaha dan komitmen yang diberikan bagi meneruskan minatnya itu tidak sia-sia. Ini kerana, dalam acara lumba pantai MX 2017, beliau menyertai kategori wanita dan muncul sebagai juara selepas selesai lima pusingan.

Kurang setahun penyelia operasi dermaga berusia 25 tahun itu menceburi sukan lasak tersebut, manfaatnya kelihatan begitu memuaskan bagi Cik Nasthasia. Bukan setakat kecergasan jasmani, malah kegiatan lumba motor pantai turut membantu beliau mengurangkan stres.

KECIL-KECIL CILI PADI, MILIKI MOTOSIKAL PERTAMA PADA USIA 5 TAHUN

Kecil-kecil cili padi. Itulah yang boleh dikatakan mengenai Muhammad NurHaziq Norzahari Saiful. Usianya baru lapan tahun dan beliau merupakan salah seorang peserta lumba motor pantai MX 2017. Malah, beliau juga berjaya menduduki tempat kedua dalam kategori Super Mini.

Menurut murid darjah tiga Sekolah Rendah West Spring ini: “Saya minat lumba motosikal lasak kerana saya suka melompat tinggi dan saya boleh bersaing dengan kawan-kawan saya. Dan, saya juga suka menonton video-video sukan ini di YouTube.”

Muhammad NurHaziq biasanya bertanding pada hujung minggu atau semasa cuti sekolah. Pada tahun ini sahaja, beliau sudah bertanding dalam sebanyak dua perlumbaan, dengan enam lagi perlumbaan sudahpun dijadualkan. Tahun lalu saja, NurHaziq mengambil bahagian dalam enam perlumbaan! Matlamatnya pada tahun ini, adalah sekitar lapan sehingga 10 perlumbaan.

Minat Muhammad NurHaziq terhadap sukan lumba motor ini sudah berputik sejak beberapa tahun sebelum itu. Kali pertama beliau menunggang motosikal adalah pada usia lima tahun dan ia adalah hadiah hari lahirnya. NurHaziq mengikut jejak ayahnya, yang juga meminati sukan lumba motosikal dan penglibatan beliau dalam sukan tersebut mendapat restu keluarganya. Beliau mula menyertai acara perlumbaan di seberang tambak dan merata Malaysia, seperti Terengganu dan Indonesia, sejak usianya tujuh tahun.

“Kita sudah cuba sukan papan lungsur, kasut lereng, berbasikal tetapi saya rasa sukan lumba ini lebih sesuai untuk NurHaziq dan kita berpeluang meluangkan masa bersama keluarga; jadi ia satu sukan untuk keluarga," jelas Norzahari Saiful, 37 tahun, bapa NurHaziq yang sudah membelanjakan sekitar S$7,000 bagi persiapan perlumbaan.

Bagi ibu NurHaziq, Nor Zaidah Mazelan, 38 tahun, sebarang kebimbangan tentang keselamatan anaknya dapat diatasi kerana mematuhi “peraturan dan menggunakan kesemua peralatan keselamatan…risiko jadi terkawal”.

"MASYARAKAT MELAYU GEMAR, TIDAK GENTAR DENGAN CABARAN"

Penolong Pengurus Acara, Halilawati Ahmad memberitahu BERITAMediacorp, seramai 102 pelumba tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam acara yang diadakan di Pantai Tanjong Sentosa pada bulan Julai tahun ini. Beliau menambah, hampir 60 peratus daripadanya adalah peserta Melayu.

Ini, tambah Cik Halilawati, disebabkan oleh kecenderungan "masyarakat Melayu (yang) sukakan cabaran" meskipun sukan lumba motor pantai amat mencabar.

Bagi memastikan acara itu berjalan dengan lancar dan keselamatan para pelumba terpelihara, ia juga bergantung kepada pasukan sokongan yang berada di sekeliling litar kerana mereka adalah individu-individu yang begitu dekat dengan aksi lumba di litar.

Sekurang-kurangnya 30 orang marsyal diperlukan bagi sesebuah acara seperti ini. Salah seorang daripadanya, juga anak Melayu yang sudah 10 tahun menyumbang tenaga secara sukarela sebagai seorang marsyal.

“Di litar, kita perlu memastikan keselamatan para pelumba, marsyal itu sendiri dan keadaan sekitar serta para penonton agar mereka tidak masuk ke dalam litar perlumbaan dan para pelumba berada dalam keadaan selamat apabila berdepan dengan insiden-insiden yang tidak diingini. Justeru, kita barisan pertama yang sampai untuk membantu mereka,” jelas Raziff Hamid, 48 tahun.

Berpengalaman luas, Raziff yang bertugas sebagai pengurus IT pernah terlibat dalam acara-acara perlumbaan seperti Grand Prix Formula 1 Australia, Grand Prix Formula 1 Korea Selatan dan juga Grand Prix Formula 1 Singapura sejak tahun pertama perlumbaan sebelah malam itu diadakan di negara ini.

Encik Raziff menerangkan bahawa seseorang yang berminat menjalankan tugas sebagai marsyal perlu mempunyai komitmen dan inisiatif: ”Kita perlu meluangkan masa di luar masa bersama keluarga, pekerjaan bagi menghadirkan diri. Satu lagi adalah inisiatif kerana melalui latihan, apabila kita berada di litar kita memerlukan kemahiran membuat keputusan yang tepat pada waktunya dan ia memerlukan latihan sepenuhnya supaya kita dapat membuat keputusan tertentu supaya kita dapat menyelamatkan atau memperbaiki keadaan.”

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan