Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

M'sia tidak jadi hoskan acara FIFA dek enggan beri Israel visa

Malaysia sudah melepaskan haknya untuk menjadi tuan rumah kepada Kongres FIFA 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak jadi hoskan acara FIFA dek enggan beri Israel visa

Logo FIFA di luar ibu pejabat FIFA di Zurich. (Gambar fail: REUTERS/Ruben Sprich)

Diterbitkan : 15 Aug 2016 08:15PM Dikemas Kini : 15 Aug 2016 08:17PM

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah melepaskan haknya untuk menjadi tuan rumah kepada Kongres FIFA 2017.

Ini setelah negara itu enggan memberikan visa kepada para delegasi Israel, kata seorang pegawai sukan.

"Kami dinasihati kerajaan untuk menarik diri daripada menghoskan kongres itu atas isu-isu keselamatan," kata Datuk Seri Affandi Hamzah, timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada AFP.

Datuk Seri Affandi enggan mengulas tentang "isu-isu keselamatan" itu namun berkata langkah tersebut ada kaitan dengan komen-komen yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hujung minggu lalu.

Dr Zahid ketika itu berkata Malaysia tidak boleh menyediakan visa kepada para pegawai Israel kerana kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ia mungkin membangkitkan isu sensitif di kalangan rakyat negara itu.

"Sesetengah syarat bagi menghoskan acara itu termasuk meletakkan bendera (Israel) di atas meja ketika kongres itu," katanya seperti ditukil akhbar New Straits Times.

"Setelah mengambil kira manfaat-manfaat dan risikonya, adalah lebih baik bagi Malaysia mengelak menjadi tuan rumah," ujarnya.

Datuk Seri Affandi berkata FAM pada Julai lalu menulis kepada FIFA dan memberitahu, pihaknya menarik diri daripada menjadi tuan rumah acara itu atas "nasihat kerajaan" dan badan bola sepak dunia itu menerima keputusan Malaysia.

Malaysia, yang kebanyakan penduduknya beragama Islam, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel namun mempertahankan hak-hak orang Palestin.

Mantan setiausaha umum Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Peter Velappan, menyifatkan kegagalan Malaysia menghoskan acara itu sebagai "mengecewakan."

"Malaysia tiba-tiba mengenakan sekatan. Melanggar syarat-syarat FIFA dan kehilangan hak menjadi tuan rumah pada tahap ini amat mengecewakan," katanya.

Israel terlepas menyertai Kejohanan Sukan Layar Belia Sedunia 2015 di Malaysia, dilaporkan setelah satu pertikaian serupa tentang visa dan bendera.

Pada 1997, apabila Israel menyertai pertandingan Trofi Majlis Kriket Antarabangsa di Malaysia, ratusan orang mengadakan tunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan juga mengadakan bantahan dan membakar bendera Singapura dan Israel apabila presiden Israel ketika itu, Chaim Herzog, melakukan lawatan rasmi ke negara jiran, Singapura pada 1986.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan