Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lee Chong Wei besar hati Misbun Sidek jadi ketua jurulatih BAM

Kepulangan semula Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki sudah pasti menjadi berita gembira buat bekas anak didiknya, Lee Chong Wei.

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Chong Wei besar hati Misbun Sidek jadi ketua jurulatih BAM

Misbun Sidek bersama Lee Chong Wei. (Gambar: Facebook/ Misbun Sidek)

Diterbitkan : 09 Jun 2017 06:02PM Dikemas Kini : 09 Jun 2017 06:04PM

KUALA LUMPUR: Kepulangan semula Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki sudah pasti menjadi berita gembira buat bekas anak didiknya, Lee Chong Wei.

Chong Wei menyifatkan kepulangan ''sifunya'' memberi harapan serta sinar baru buat barisan pemain perseorangan negara selepas legenda badminton negara era 80-an itu bertanggungjawab mencungkil bakat pemain itu ketika berusia 17 tahun pada sekitar 1999.

Misbun, antara tenaga jurulatih skuad negara ketika itu, mengambil tempoh tujuh tahun untuk menggilap dan membentuk Chong Wei sehingga pemain itu berjaya meraih pingat perak pertama di Sukan Olimpik Beijing pada 2008.

"Kepulangan Misbun selaku ketua jurulatih diharap akan membantu pasukan perseorangan lelaki kembali menempa nama di persada antarabangsa.

 "Saya mengadakan perjumpaan dengan beliau sebelum ini dan akhirnya pada pertemuan kali ketiga barulah beliau bersetuju untuk kembali ke BAM," katanya kepada wartawan selepas menjalani latihan harian di Akademi Badminton Malaysia, hari ini (9 Jun).

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata kehadiran Misbun pastinya suatu perkembangan yang baik buat beliau serta pasukan yang akan menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.

Dalam pada itu, Chong Wei memberi peringatan kepada semua pemain muda di BAM untuk bersedia dengan kehadiran Misbun yang dijadual memulakan tugasnya pada 1 Julai depan.

"Kebanyakan pemain muda sekarang ini melihat saya seperti paling senang dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, tetapi waktu dahulu semasa di bawah Misbun tiada siapa pun yang nampak perit-jerih latihan yang saya hadapi," katanya.

Pernah Chong Wei Wei menangis disebabkan rejim latihan Misbun yang rigid ketika membimbing pasukan negara ketika itu.

Semalam, Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria berkata Misbun, 57 tahun, secara dasarnya sudah bersetuju secara lisan untuk menyertai BAM dan pihaknya akan menyediakan kontrak lebih terperinci kepadanya.

Misbun meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ''sebab peribadi''.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan