Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

La Liga lancar pejabat serantau di S'pura, akan bawa lebih banyak pasukan ke sini

Liga bola sepak Sepanyol, La Liga melancarkan sebuah pejabat hab serantau di Singapura, hari ini (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
La Liga lancar pejabat serantau di S'pura, akan bawa lebih banyak pasukan ke sini

Presiden La Liga, Javier Tebas memberikan hadiah kepada presiden sementara FAS, Lim Kia Tong di pelancaran pejabat hab serantaunya di Singapura. (Gambar: Hafiz Ma'il)

Diterbitkan : 23 Mar 2017 06:50PM Dikemas Kini : 23 Mar 2017 07:07PM

SINGAPURA: Liga bola sepak Sepanyol, La Liga melancarkan sebuah pejabat hab serantau di Singapura, hari ini (23 Mac).

Ia merupakan sebahagian daripada strategi peluasan antarabangsanya untuk menjadikan liga itu lebih popular di Asia Tenggara.

Bercakap di sidang media semasa pelancaran pejabat itu, presiden La Liga, Javier Tebas berkata pihaknya ingin memanfaatkan kehadiran dan populariti kian meningkat La Liga di rantau ini.

Katanya: "Kami gembira dapat meluaskan kehadiran kami di Asia, dan ini langkah selanjutnya dalam usaha kami mengembangkan sukan ini dan populariti La Liga di seluruh dunia.

"Asia sentiasa merupakan pasaran yang penting bagi kami, dan kami merasakan sudah tiba masanya bagi kami meluaskan lagi kehadiran kami di rantau ini, di mana kami ada ramai peminat. Saya menantikan lawatan kami ke Singapura bagi projek bersejarah ini."

La Liga menyatakan ia akan fokus terhadap menyumbang masa dan sumber menerusi perlawanan-perlawanan persahabatan, kunjungan oleh para pemain dan program-program pembangunan akar umbi.

LEBIH BANYAK PASUKAN AKAN KUNJUNGI S'PURA

Antara rancangan mereka ialah membawa lebih banyak pasukan La Liga ke Singapura. "Kami pastinya akan menimbangkan untuk membawa masuk sesetengah kelab ini ke sini bagi perlawanan-perlawanan persahabatan pada musim panas mendatang pada 2018, sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami di sini," kata Encik Tebas.

Mengiktiraf bahawa La Liga akan perlu bersaing dengan populariti Liga Perdana England di Asia, Encik Tebas berkata semua pihak mempunyai cukup peminat masing-masing.

"Ada ruang untuk semua orang, jadi terdapat banyak ruang untuk kami tumbuh, dan juga ada sesuatu untuk semua orang terutama dalam ruang digital. Ini terbukti tahun lalu apabila jumlah penonton kami naik 40 peratus.

"Di rantau ini, lebih 55 peratus penduduk dunia tinggal di sini. Ia akan menjadi satu kesilapan dalam strategi kami jika kami tidak mendampingi orang-orang di Asia," katanya.

Duta liga itu yang juga bekas penyerang Real Madrid dan Liverpool, Fernando Morientes, berkata: "Saya amat teruja mengunjungi Singapura bagi pelancaran projek khas ini.

"Sebagai duta La Liga, tanggungjawab paling besar kami ialah mewakili liga yang terbaik di dunia dan terus mendampingi para peminat dengan sukan ini. Kami sentiasa berusaha mendampingi para penyokong, bukan sahaja di Sepanyol, tetapi juga di seluruh dunia," tambahnya.

Ini merupakan pejabat keempat liga itu di Asia selepas China, India dan Dubai.

La Liga menyatakan pejabatnya di Singapura akan menempatkan sumber-sumber khusus untuk melancarkan projek-projek di rantau ini.

Sebaik sahaja pejabat La Liga Singapore di East Tower, Great World City, secara rasmi mula beroperasi bulan depan, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) merancang untuk menyarankan agar menghantar sekumpulan pemain muda tempatan ke latihan-latihan di Sepanyol menerusi perkongsian baru itu.

"Hasil perbincangan awal kami, kami sedang melihat kemungkinan menghantar empat pemain muda kami ke sana. Di sana, saya percaya, kami juga boleh meraih manfaat daripada hubungan ini," kata presiden sementara FAS, Lim Kia Tong. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan