Images
  • Basikal

Junaidi bertekad raih pingat Sukan SEA untuk S'pura, anak lelakinya

SINGAPURA: Singapura akan diwakili seramai 14 pelumba basikal dalam Sukan SEA ke-29 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Jumlah tersebut juga merupakan yang terbesar bagi Kontinjen Team Singapore dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Daripada 14 pelumba basikal itu, 3 atlit berusia 30 tahun ke atas, namun masih bertekad untuk mengharumkan nama negara.

Salah seorang daripada mereka ialah Junaidi Hashim, pelumba basikal yang sudah 23 tahun bersaing secara kompetitif.

Bagi atlit berpengalaman ini, Sukan SEA yang bakal menjelang penuh bermakna.

Walaupun berusia 35 tahun, beliau masih bercita-cita untuk membawa pulang pingat yang ingin beliau hadiahkan untuk Singapura
dan anak lelakinya yang baru mencecah usia satu tahun.

Sepanjang tiga bulan yang lalu, beliau gigih menjalani 10 sesi latihan, enam kali seminggu.

Latihannya juga merangkumi perlumbaan di luar negara.

"Di luar negara, persiapan kita sangat tertumpu dan kita ada lebih banyak masa. Jadi, seperti di Switzerland, kita berlatih di atas gunung, di altitude yang sangat tinggi iaitu baik untuk pernafasan kita. Jadi, saya rasa persiapan ini memang baik untuk SEA Games," kata pelumba basikal negara, Junaidi Hashim.

Malah, Junaidi, yang baru saja pulang dari Switzerland, akan berangkat ke Kuala Lumpur untuk menyesuaikan diri dengan litar perlumbaan tuan rumah Sukan SEA itu. 

"Insya-Allah minggu depan kita ada kem latihan di sana, 10 hari. Kita akan mencuba tetapi apa yang saya dapat tahu, memang jalan yang ada di sana jalan yang agak berbukit. Apa jua cabarannya, kita akan bersiap sedia buat yang terbaik," Junaidi memberitahu BERITAMediacorp.

Junaidi turut bersaing dalam kategori basikal bukit (mountain bike) dan perlumbaan lebuh raya semasa mewakili Singapura di Sukan SEA sejak 2001.

"Mungkin ini adalah Sukan SEA yang terakhir. Pada saya, untuk saya dan pasukan saya mendapatkan medal itulah matlamat yang saya hendak," ujar beliau.

Junaidi akan bersaing dalam dua kategori lumba basikal Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos ini.  

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top