Images
  • JDT kedah
    Gambar: JOHOR Southern Tigers / Facebook

Johor juarai Piala Malaysia 2017 selepas tumpaskan Kedah 2-0

SHAH ALAM: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menamatkan penantian 26 tahun untuk menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan juara bertahan, Kedah, 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam ini tadi (4 Nov).

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera dan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak.

Kemenangan itu menyaksikan JDT berjaya melengkapkan koleksi kejuaraan dalam tempoh empat tahun setelah turut memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, selepas Tunku Mahkota Johor  (TMJ)  Tunku Ismail Sultan Ibrahim mula menerajui kelab itu pada 2013.

Beraksi di hadapan lebih 80,000 penyokong, skuad bimbingan Ulisses Morais yang turun tanpa penyerang prolifik, Mohamad Ghaddar yang berada di bangku simpanan, tidak berdepan masalah.

Johor mencipta jaringan seawal minit ketiga menerusi Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak yang menanduk deras bola hasil sepakan sudut ketua pasukan, Safiq Rahim.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, Kedah bangkit memperkemaskan permainan untuk melancarkan serangan ke atas benteng pertahanan JDT. Namun penjaring terbanyak kejohanan Sandro Da Silva yang mengetuai jentera serangan skuad Lang Merah gagal menemui penyudah.


Gambar: JOHOR Southern Tigers / Facebook 

JDT hampir menggandakan jaringan pada minit ke-15 selepas pertahanan Kedah gagal mengeluarkan bola dengan kemas dalam kawasan penalti, namun sepakan deras Ignacio Insa sedikit melewati tiang gol pasukan lawan.

Namun, pada minit ke-63, Gonzalo Cabrera berjaya menjaringkan gol bagi JDT.

Skuad Lang Merah gagal untuk mendapatkan apa jua gol walaupun permainan dilanjutkan sehingga empat minit selepas waktu penuh 90 minit.

Keputusan pada akhir perlawanan kekal 2-0 berpihak kepada JDT.


 

- BERNAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top