Images
  • samuel olympics
    Samuel Schmid menghadiri sidang media selepas mesyuarat di Lausanne, Switzerland pada 5 Disember 2017. (Gambar: Denis Balibouse/ Reuters) 

IOC larang Rusia sertai Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa IOC melarang Rusia daripada menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Ini selepas IOC menemukan bukti tentang "manipulasi sistematik yang tidak pernah berlaku" pada sistem ujian salah guna dadah sehingga beberapa atlit negara itu digantung beraksi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, atlit Rusia yang bersih daripada dadah dibenarkan bertanding di bawah bendera Olimpik.

Hukuman itu adalah yang paling berat pernah dikenakan IOC kerana penipuan dadah.

Ia dilakukan 65 hari sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung di Pyeongchang, Korea Selatan dari 9 -25 Feb.

Laporan daripada Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan dua jawatankuasa siasatan IOC mengesahkan atlit Rusia mengambil bahagian dalam program penipuan dadah yang kemuncaknya pada Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi.

Bukti menunjukkan program berkenaan turut membabitkan pegawai kanan pemerintah, termasuk kementerian sukan dengan bantuan daripada ejen rahsia negeri.

IOC juga memutuskan untuk menggantung keanggotaan presiden Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) Alexander Zhukov dalam IOC, manakala Timbalan Perdana Menteri Rusia, Vitaly Mutko, yang menjadi menteri sukan ketika temasya di Sochi 2014, dilarang daripada menyertai sebarang acara Olimpik yang akan datang.

Mantan Presiden Switzerland Samuel Schmid memberitahu media bahawa laporan tentang penglibatan pemerintah dalam ujian salah guna dadah Rusia di Sukan Sochi mengesahkan "manipulasi sistematik pada peraturan dan sistem anti-doping" oleh Rusia.

Hasil siasatan tidak hanya berdasarkan kesaksian oleh mantan ketua anti-dadah Rusia Grigory Rodchenkov. Terdapat juga bukti saintifik, keterangan dari para saksi dan surat dokumen lain, katanya.

RUSIA MEMINTA MAAF

Presiden IOC Thomas Bach berkata: "Hari ini kami memberi delegasi Rusia peluang untuk memberi penjelasan. Dalam mesyuarat petang tadi (5 Dis), presiden ROC sudah meminta maaf.

"Sebagai seorang bekas atlit, saya rasa sangat bersalah terhadap para atlit lain yang terjejas daripada manipulasi ini. Tetapi, kerana kami membenarkan atlit yang jujur untuk mengambil bahagian, mereka boleh mengambil bahagian demi membina masa depan mereka dan tidak ikut terjejas dalam benteng yang dikenakan antara Rusia dan gerakan Olimpik."

Fokus kini terarah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada masih membenarkan Rusia, mengekalkan peranannya dalam penganjuran Piala Dunia 2018 susulan skandal yang melanda itu.

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata badan induk itu memandang serius keputusan yang dibuat IOC tetapi ia tidak memberi kesan kepada persiapan penganjuran Piala Dunia 2018. 

- Reuters/AQ/aq

Komen Anda?

Top