Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Indonesia sasar selesai persediaan bagi Sukan Asia jelang hujung tahun

Indonesia berdepan dengan cabaran "begitu besar" menganjurkan acara Sukan Asia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia sasar selesai persediaan bagi Sukan Asia jelang hujung tahun

Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum bermula kerja-kerja binaan. (Gambar: AFP/ADEK BERRY)

Diterbitkan : 03 Apr 2017 04:42PM Dikemas Kini : 03 Apr 2017 05:23PM

JAKARTA: Indonesia berharap untuk menyelesaikan persiapan menjadi tuan rumah bagi acara Sukan Asia 2018 menjelang hujung tahun ini, menurut Naib Presidennya Jusuf Kalla, tanpa menghiraukan kebimbangan terhadap siasatan rasuah yang sedang dijalankan serta kelengahan kerja-kerja binaan.

Indonesia berdepan dengan cabaran "begitu besar" menganjurkan acara berbilang sukan itu, khususnya penyelarasan antara agensi-agensi pemerintah, menurut Majlis Olimpik Asia pada bulan lalu, seperti yang ditukil oleh media.

Siasatan polis ke atas dakwaan kegiatan menggelapkan wang hampir AS$700,000 (S$977,670) daripada dana pemasaran menyebabkan dua pegawai kanan panel Olimpik Indonesia digantung pada tahun lalu, setelah mereka dinamakan sebagai suspek.

"Kami optimis akan dapat menyiapkan lokasi-lokasi acara menjelang hujung tahun ini," kata Encik Kalla dalam satu wawancara di istana presiden yang terletak di Jakarta tengah pada Jumaat lalu (31 Mac).

"Kadang-kala ada kemungkinan berlaku kelengahan dan jika ada sesuatu yang berlaku kita masih ada enam bulan untuk menyelesaikannya," tambah Encik Kalla, yang diberi tanggungjawab menyelia persediaan pada bulan lalu, setelah Presiden Joko Widodo menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangannya.

Pihak penganjur menjangkakan lebih 30,000 orang akan terlibat menjayakan acara itu, dari para atlit sehingga para jurulatih, tambah beliau.

Diadakan setiap empat tahun, acara itu akan berlangsung di ibu kota Indonesia dan di Palembang, selatan bandar Sumatera pada bulan Ogos dan September tahun depan.

Para atlit dari 45 negara akan bersaing dalam acara sukan dari badminton sehingga seni mempertahankan diri masyarakat Cina, iaitu wushu.

Kali terakhir Indonesia menjadi tuan rumah bagi acara tersebut adalah pada tahun 1962.

Siasatan ke atas perbuatan rasuah itu bagaimanapun tidak akan menjejas persiapan bagi acara sukan tersebut, tambah Encik Kalla.

"Disebabkan (siasatan) itu, setiap orang kini lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam menganjurkannya," beliau memberitahu Reuters.

Sumber : Reuters/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan