Images
  • edi
    Pemain badminton Indonesia Edi Subaktiar.

Indonesia hantar pasukan muda bagi acara badminton Sukan SEA

INDONESIA: Pasukan badminton Indonesia menetapkan sasaran untuk menang sekurang-kurangnya tiga pingat emas di Kuala Lumpur bulan ini walaupun Indonesia menghantar pemain-pemain muda kerana pasukan terbaiknya bertanding di Kejohanan Dunia.

Badminton merupakan salah satu acara sukan paling popular di Indonesia.

Negara itu kini berada di tangga lima teratas di dunia dalam kategori acara bergu lelaki dan bergu campuran.

Dalam kejohanan Sukan SEA, pasukan Indonesia sering menguasai acara badminton.

Semasa kejohanan serantau itu di Singapura yang lalu, pasukan badminton Indonesia menang tiga pingat emas.

Bagaimanapun bagi kejohanan Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti, tugas untuk mengekalkan prestasi cemerlang Indonesia dalam acara badminton terletak dibahu para pemain mudahnya seperti Edi Subaktiar.

Berusia 23 tahun, Edi merupakan juara dunia remaja dalam acara bergu campuran.

Inilah kali pertama dia akan menyertai Sukan SEA.

"Kalau soal tekanan, semua pemain akan mengalaminya. Saya lihat pemain-pemain senior saya sebelumnya dapat pingat emas, jadi saya berusaha sama Gloria, terus sama Hafiz, Sheila. Kalau bisa pasukan-pasukan Indonesia mara ke peringkat akhir dan Indonesia menang pingat emas," dedah Edi.

Impian itu mungkin tidak keterlaluan kerana mereka dilatih oleh Richard Mainaky, pakar dalam memupuk bakat-bakat badminton Indonesia untuk menjadi juara.

"Pokoknya atlit saya atau saya memberikan yang terbaik untuk memenuhi sasaran atau meraih pingat. Jadi walaupun kita turun pemain muda saya sasarkan mereka pingat emas," jelas Richard Mainaky.

Bagi mencapai sasaran itu, selain latihan giat enam hingga lapan jam sehari, pemakanan mereka juga diawas dengan teliti.

- BERITAMediacorp/MU/fa

Komen Anda?

Top