Images
  • ilhan
    Ilhan Fandi di England untuk menjalani latihan dan pendidikan di Kolej Ratu Ethelburga. (Gambar: Fandi Ahmad)

Ilhan Fandi dijadual berlatih, belajar di England selama 2 tahun

SINGAPURA: Ilhan Fandi, anak lelaki ketiga ikon bola sepak negara Fandi Ahmad, memburu impian beliau menjadi pemain bola sepak di Eropah, dengan mendaftarkan diri di sebuah sekolah di England untuk belajar dan berlatih.

Ilhan berlepas ke England pada Jumaat lalu (8 Sep) untuk belajar di Kolej Ratu Ethelburga di York bagi dua tahun seterusnya.

Ilhan juga akan berlatih di Akademi Bola Sepak i2i, yang ada kaitan dengan kelab bola sepak England Leeds United.

Ia juga bekerjasama dengan kedua-dua Kolej York dan Universiti St John York dan akan membantu menghubungkan para pemain dengan kelab-kelab England yang profesional dan separuh profesional.

"Cita-cita (Ilhan) adalah untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional dan kami (sebagai ibu bapa) berada di sini bagi membimbing beliau mencapai cita-citanya," kata ayahnya kepada Mediacorp melalui kiriman mesej dari York.

Ilhan akan menyertai program bola sepak elit dan "mudah-mudahan dapat berjaya dalam pelajaran dan sukan yang diceburi beliau", tambah Fandi.

Ilhan akan mengikut jejak abang-abangnya, Irfan dan Ikhsan, yang berlatih dan belajar di luar negara.

Irfan, 20 tahun, dan Ikhsan, 17 tahun, berlatih dua tahun bersama pasukan Club Deportivo Universidad Catolicafrom dari Chile pada tahun 2014 hingga 2015, sebelum mereka kembali ke Singapura pada Januari lalu untuk menyertai pasukan Liga S, Home United.

Pada April 2016, mereka menjalani Perkhidmatan Negara, dengan Irfan berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura dan Ikhsan di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Ilhan yang berusia 14 tahun akan tinggal di asrama. Fandi dan isterinya, Wendy Jacobs, ke England pada Sabtu (9 Sep) untuk membantu Ilhan menyesuaikan diri di sana tetapi akan pulang ke Singapura tidak lama lagi.

Fandi memberitahu Mediacorp tahun lalu bahawa beliau yakin Ilhan boleh tinggal sendiriani di luar negara pada usia yang muda. 

- TODAY/RU/ru

Komen Anda?

Top