Images
  • fas logo
    Logo Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). (Gambar: FAS)

FAS, kelab Liga S terkejut dengan kemungkinan pendanaan Tote Board dikurangkan secara drastik

SINGAPURA: Baru lima bulan selepas memenangi pilihan pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), majlis baru FAS kini berdepan dengan cabaran terbesar sejauh ini iaitu pendanaan bagi Liga S yang mungkin dikurangkan dengan banyak pada musim depan.

Mediacorp difahamkan belanjawan bagi Liga S tahun depan hanya S$8.5 juta, iaitu kurang hampir separuh daripada jumlah tahunan sekarang, S$16 juta.

Subsidi tahunan yang diperuntukkan bagi satu-satunya liga sukan profesional Singapura adalah dari Tote Board, walaupun Sport Singapore (SportSG), badan sukan negara bertanggungjawab dalam menyalurkan wang itu.

Difahamkan bahawa FAS pada asalnya menyediakan usulan bagi Liga S tahun depan berdasarkan belanjawan yang dikurangkan iaitu sekitar S$11 juta dan akan menyampaikan rancangan itu kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada bulan ini.

Mediacorp difahamkan salah satu teras usulan itu adalah tumpuan tambahan kepada pembangunan belia dengan tujuan lebih ramai pemain muda ditampilkan di Liga S secara kerap.

Mediacorp juga difahamkan bahawa FAS mengadakan mesyuarat dengan kelab-kelab Liga S pada malam tadi (8 Sep) untuk memberitahu bahawa rancangan-rancangan itu adalah sebahagian daripada satu kemas kini terhadap pendanaan tahun depan.

Menjawab soalan-soalan diajukan Mediacorp, seorang jurucakap FAS berkata: "Masih terlalu awal untuk membincangkan pendanaan daripada SportSG kerana perbincangan masih dijalankan"

Seorang pegawai kelab Liga S, yang tidak mahu mendedahkan namanya, berkata beliau "terkejut" dengan kemungkinan belanjawan Liga S diturunkan secara mendadak.

Ia dijangka membawa satu lagi masalah kewangan kepada kelab-kelab tempatan, yang masih berdepan dengan perubahan baru-baru ini mengenai mesin judi jackpot.

Dua bulan lalu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengumumkan beberapa langkah untuk memperketatkan peraturan terhadap operasi rumah kelab.

Seorang lagi pegawai kelab Liga S, yang tidak mahu didedahkan identitinya, percaya dengan kekurangan dana itu, dan peraturan baru berhubung mesin judi jackpot, kelab-kelab akan berdepan dengan masalah kewangan pada tahun-tahun akan datang ini.

- TODAY/RU/ru

Komen Anda?

Top