Images
  • fas logo
    Logo Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). (Gambar: FAS)

FAS bakal pilih pucuk pimpinan baru pada 29 April

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bakal memilih pucuk pimpinan barunya pada 29 April depan.

Ini merupakan kali pertama FAS mengadakan pemilihan itu selepas perlembagaannya dipinda pada November tahun lalu. Ia selaras dengan peraturan badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA.

Pada masa lalu, para penyandang jawatan FAS dilantik pemerintah dan mereka berkhidmat bagi tempoh penggal selama dua tahun.

Seramai 44 anggota gabungan FAS akan mengundi bagi memilih 15 anggota majlis badan bola sepak tempatan itu. Mereka yang terpilih akan berkhidmat mulai tahun ini hingga 2021.

Calon-calon untuk jawatan presiden perlu bertanding sebagai sebahagian daripada pasukan sembilan anggota, yang terdiri daripada seorang timbalan, empat naib presiden dan tiga anggota majlis.

Majlis yang dilantik juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita.

Setakat ini, dua pasukan sudah mengumumkan hasrat untuk bertanding. Satu pasukan itu diterajui presiden sementara FAS sekarang, Lim Kia Tong. Para anggota pasukannya termasuk dua naib presiden sementara sekarang, Bernard Tan dan Edwin Tong serta mantan pengerusi Tampines Rovers, Teo Hock Seng.

Saingan mereka adalah kumpulan pimpinan pengerusi pasukan Hougang United, Bill Ng. Anggota-anggota kumpulan Encik Ng terdiri daripada pengerusi pasukan Tampines, Krishna Ramachandra dan mantan naib pengerusi Geylang International, Lau Kok Keng. 

- CNA/nd

Komen Anda?

Top
>