Images
  • FAS
    Gambar: Justin Ong

FAS bakal buat perubahan terhadap Liga S demi tingkat mutu bola sepak negara

SINGAPURA: Dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) membuat beberapa perubahan terhadap Liga S.

FAS mengumumkan perkara itu di kongres tahunannya hari ini (16 Nov).

Liga S adalah satu-satunya liga sukan profesional negara ini tetapi ia dilanda dengan masalah jumlah penonton yang merosot dan mutu bola sepak yang hambar.

Ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada pasukan negara, yang tidak meraih sebarang kemenangan tahun ini.

Lantaran itu, FAS memutuskan untuk menyuntik bakat muda dalam liga berkenaan.

Mulai musim baru nanti, setiap kelab tempatan liga tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya enam pemain berusia bawah 23 tahun.

Tiga daripada pemain muda itu pula perlu dimasukkan ke dalam kesebelasan utama setiap perlawanan liga.

Buat masa ini, Liga S mempunyai sembilan pasukan, termasuk Brunei DPMM, Albirex Niigata dan Young Lions.

Kemungkinan besar, para pemain muda adalah daripada 'Prime League' yang akan ditiadakan pada musim baru nanti.

Liga separuh profesional, Liga Bola Sepak Nasional (NFL) juga akan dijadikan divisyen di bawah Liga S.

Ini bermakna satu sistem kenaikan dan penurunan divisyen sedang dalam perbincangan.

Selain perubahan-perubahan ini, kuota pemain asing kelab-kelab Liga S juga akan diturunkan kepada dua berbanding tiga sebelum ini.

FAS juga mengumumkan belanjawan liga tersebut hampir $16 juta, berbanding $8.5 juta yang dikhabarkan sebelum ini. 

- CNA/RU/sm

Komen Anda?

Top