Images
  • yukie
    Atlit negara Elisa Yukie Yokoyama. (Gambar: Facebook/ Yukie Yokoyama)

Elisa Yukie yakin pertahan pingat emas Sukan SEA di KL

SINGAPURA: Elisa Yukie Yokoyama sering dibayangi oleh kakaknya Natasha Yokoyama yang mendapat perhatian ramai semasa mewakili Singapura dalam acara sukan layar di Sukan Olimpik Belia YOG 2010.

Mahasiswa jurusan kajian alam sekitar di Universiti Nasional Singapura akhirnya berjaya mencipta nama apabila beliau memenangi pingat emas dalam sukan yang sama di Sukan SEA 2011.

Di Sukan SEA Kuala Lumpur pada lewat bulan ini, Yukie akan bertanding dalam sukan layar bagi kategori 470.

YAKIN DAPAT BAWA PULANG PINGAT EMAS

Pada Sukan SEA kali ini, Yukie bakal bergabung dengan Cheryl Teo yang akan membuat penampilan sulung dalam kategori 470.

Walaupun pasangan ini hanya mula berlatih secara bersama sejak Ogos tahun lalu, Yukie yakin bahawa mereka akan dapat membawa pulang pingat emas bagi Singapura.

Ini kerana Yukie dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada latihan selepas membuat keputusan untuk menangguhkan pengajiannya selama setahun di NUS.

Kedua-dua atlit sukan layar ini berlatih hampir setiap hari, berjam-jam lamanya di bawah terik mentari bukan saja di Singapura tetapi juga di luar negara.

"Kami pergi ke Eropah untuk berlatih seperti di Spanyol, Perancis dan Greece dan kami yakin kami boleh berjaya di Sukan SEA," katanya.

Walaupun sedang gigih berlatih untuk Sukan SEA, Yukie dan Cheryl turut menumpukan perhatian kepada usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.

Yukie, yang mula berjinak-jinak dengan sukan layar sejak beusia sembilan tahun atas dorongan kakaknya, Natasha mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan sepasukannya.

"Motivasi saya adalah masyarakat kapal layar, keluarga saya dan kawan-kawan rapat saya," tambah beliau.

Yukie dan Cheryl adalah antara 21 atlit yang bakal mewakili Persekutuan Sukan Kapal Layar Singapura dalam 14 acara di Sukan SEA Kuala Lumpur pada lewat bulan ini. 

- BERITAMediacorp/SM/ru

Komen Anda?

Top