Images
  • David Beckham
    David Beckham dalam satu acara di Singapura pada 2014. (Gambar fail: TODAY)

David Beckham bakal singgah di S’pura pada 21 Sep ini

SINGAPURA: Para peminat bola sepak mahupun wanita yang menggilai bintang gergasi ini pasti tidak sabar untuk bertemu pemain pujaan mereka.

Bekas pemain kelab Manchester United dan Real Madrid David Beckham akan mengadakan lawatan ke Singapura sekali lagi bulan depan, sebagai sebahagian daripada “jelajah kehidupan sihat” yang dianjurkan oleh kumpulan insurans AIA.

Pemain yang sudah bersara itu akan berada di Clifford Square antara 4.00 hingga 6.00 petang pada 21 September dan dijangka menyentuh tentang isu kesejahteraan peribadi dan kehidupan sihat.

Dalam kenyataan medianya, AIA Singapore menyatakan bahawa Beckham, 42 tahun, akan membantu “menggalakkan rakyat Singapura untuk menguasai kesihatan mereka, terutama sekali menerusi makanan dan nutrisi”.

Beckham dilantik sebagai duta global AIA awal tahun ini. Selepas membuat kemunculan di Singapura, beliau akan melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur.

AIA Singapore juga sedang mengadakan peraduan bagi rakyat Singapura untuk bertemu dengan Beckham secara bertentangan. AIA Vitality Healthy Cookout Showdown mencabar rakyat Singapura untuk menghasilkan versi yang lebih sihat dan sedap bagi hidangan tempatan Singapura, seperti ‘carrot cake’, nasi lemak atau ‘chilli crab’.

Para peserta mesti menubuhkan sebuah pasukan yang dianggotai dua ahli keluarga dan memuat naik gambar hidangan yang dimasak itu di laman Facebook AIA Singapore, bersama resipi dan bahan-bahan, cara memasak dan penerangan tentang bagaimana mereka dapat menjadikan hidangan itu lebih sihat.

Enam penyertaan akan dipilih untuk bertanding dalam pusingan akhir di mana mereka akan berpeluang bertemu Beckham secara empat mata. Mereka juga mungkin memenangi hadiah bernilai lebih S$10,000.

Beckham membuat beberapa lawatan ke Singapura sejak beliau bersara dari dunia bola sepak pada tahun 2013. Tahun lalu, beliau memberitahu majalah High Life milik British Airways bahawa Singapura adalah salah sebuah bandar yang paling digemari di dunia, termasuk New York, Los Angeles dan Paris.

- TODAY/IM/nk

Komen Anda?

Top