Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Danial, Muhammad Dinie sudah bersiap sedia masuk gelanggang tinju Sukan SEA KL

Pasukan tinju Singapura tahun ini yang terdiri daripada bakat-bakat matang dan baru teruskan perjuagan demi mengharumkan nama negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Danial, Muhammad Dinie sudah bersiap sedia masuk gelanggang tinju Sukan SEA KL

Gambar pasukan tinju negara (dari kiri) Muhammad Dinie Hakeem, Prithiv Raaj Elansharan, Danial Abdul Jalil, Mohamed Hanurdeen Hamid, penolong jurulatih David Alexis & Leong Jun Hao. (Gambar: Syed Abdul Kadir)

BERITAMediacorp: Kecemerlangan mereka di gelanggang tinju jelas memberangsangkan di Sukan SEA yang diadakan di Singapura dua tahun lalu.

Jika pasukan tinju negara berjaya merangkul 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa pada ketika itu, tentunya matlamat untuk mengulangi atau mengatasi pencapaian tersebut ditingkatkan lagi tahun ini.

Yang pasti, untuk mencapai sasaran itu, pasukan tinju tidak akan berjuang di medan tanpa ‘bersenjata’. Bahkan kali ini, mereka mengukuhkan dan menajamkan lagi ‘senjata’ mereka sebelum meneruskan perjuagan demi mengharumkan nama negara.

Pada Sukan SEA 2017 kali ini, mereka malah menyertakan tiga muka baru bagi mewakili Singapura buat pertama kali di arena sukan tersebut.

Yang menjadi tanda tanya, mampukah bakat-bakat matang dan baru dalam pasukan tahun ini memperbaiki kedudukan lalu menggondol sebutir pingat emas?

"Satunya mungkin mereka yang lain baru tetapi mereka ini degil tidak mahu kalah. Jadi, inilah semangat yang sangat diharapkan. Semoga dapat berjayalah, satu atau dua memenangi pingat-pingat, di Sukan SEA nanti," kata jurulatih tinju negara, Syed Abdul Kadir.

Selain itu, beliau juga mengongsi sebab sukan tinju merupakan di kalangan sukan paling mencabar atau mungkin serupa bermain papan dam, "kasi satu, makan tiga". Ia kerana kecederaan tidak dapat dielakkan langsung bagi kedua-dua pihak dalam gelanggang tinju.

Sebagai sebahagian persiapan mencapai kecemerlangan di negara jiran, satu program latihan turut dijalankan di Patiala, India selama sekitar tiga minggu.

Latihan di luar negara itu yang berlangsung pada bulan Julai, juga memberi pendedahan kepada para petinju muda Singapura untuk berlatih dengan golongan elit tinju India bagi menajamkan kemahiran di gelanggang.

Danial Abdul Jalil semasa sesi latihan (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp).

Danial Abdul Jalil semasa sesi latihan (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp).

Petinju berusia 25 tahun ini akan turut bertanding dalam Kelas Bantam, 56 kilogram.

Bagaimanapun, ada secebis keprihatinan dan kebimbangan yang disuarakan ibunya di sebalik sokongan padu yang diberikan.

"Agak mengejut kerana mereka sebenarnya menempah sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur untuk menonton perlawanan saya," jelas anak tunggal itu yang sudah berkecimpung dalam sukan tinju hampir lima tahun.

Malah, minat sukan tinju yang dipacu peluang mewakili negara menjadi pemangkin Danial untuk teruskan latihan walaupun begitu intensif.

Selain itu, banyak pengorbanan harus dilakukan, termasuk meluangkan masa bagi latihan serta menjaga pemakanan. Sebagai seorang 'foodie' beliau sukakan makanan berat seperti nasi ambeng dan stik.

"Cabaran tunjang sebenarnya adalah secara mental sebab kami akan berdepan dengan mereka yang mempunyai begitu banyak pengalaman," kata Danial, yang baru-baru ini bertanding dalam Kejohanan Tinju SBC Tashkent 2017, di Uzbekistan.

MAHU BERI TUMPUAN, TUNJUK PRESTASI TERBAIK TANPA PENYESALAN

Seorang lagi anggota baru, Muhammad Dinie Hakeem, 20 tahun, pelajar tahun kedua ITE Kolej Tengah, jurusan Reka Bentuk Produk, juga akan bertanding dalam Kelas Light Heavy, 81 kilogram.

Di kalangan para pesaing hebat beliau jangkakan ialah pasukan dari Kemboja dan Filipina.

Walaupun rasa gemuruh bakal berdepan dengan para pesaing lebih berpengalaman, sasarannya terus tertumpu kepada memberikan yang terbaik tanpa sebarang penyesalan.

Dinie yang pernah mewakili negara dalam Sukan Belia Komanwel 2015 menerimanya sebagai satu tekanan sihat.

"Jangan fikirkan tentang benda yang tidak penting, fikir tentang apa yang saya hendak capai. Kemudian, hanya tumpukan kepada perkara yang saya mahu dan lakukan apa yang perlu iaitu berlatih," katanya kepada BERITAMediacorp.

Beliau juga mengongsi bahawa bapanya merupakan pencetus minat sukan tinju di dalam dirinya sejak kecil lagi. Kini, adik bongsunya yang berusia 18 tahun juga mula berjinak-jinak dengan sukan tinju.

Seluruh keluarganya juga akan ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan Sukan SEA 2017.

Yang jelas, ini adalah satu lagi peluang bagi ahli sukan negara untuk mencipta sejarah sukan yang cemerlang.

Tahun ini, lebih 500 atlit Singapura akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi merebut peluang mengukir nama selepas persiapan selama berbulan-bulan.

Jumlah petinju bagi pasukan negara kali ini juga adalah separuh dari segi jumlahnya di Sukan SEA dua tahun lalu, yang terdiri daripada 10 petinju.

Sukan SEA 2017 akan membuka tirai esok (19 Ogos) di Kuala Lumpur, Malaysia yang kembali menjadi tuan rumah kepada temasya sukan dwitahunan ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan