Images
  • jdt supporters
    Penyokong pasukan Johor Darul Takzim. (Gambar: Johor Southern Tigers/ Facebook)  

Cuti umum kalau JDT juarai Piala Malaysia 2017

KOTA ISKANDAR, JOHOR: Kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan mengumumkan Ahad ini (5 Nov) sebagai cuti khas di negeri itu, sekiranya pasukan bola sepaknya iaitu Johor Darul Takzim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2017 esok (4 Nov).

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta menghargai kegigihan pasukan harimau selatan dalam usaha merangkul piala berprestij tersebut.

“Jika JDT berjaya mencatat kemenangan, pengisytiharan itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada para pemain serta para penyokong yang berjaya membawa pulang kejuaraan tersebut buat pertama kalinya selepas 25 tahun.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini,” kata Encik Azmi.

Beliau menambah, Sultan Johor membuat pengumuman awal itu bagi memudahkan mereka membuat persediaan awal memandangkan Ahad merupakan hari kerja di Johor.

Azmi turut menggesa semua peminat bola sepak Johor supaya 'turun padang' ke Stadium Shah Alam esok (4 Nov) dan memberi sokongan kepada pasukan JDT.

Beliau turut menasihati para penyokong supaya saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain.

Juara Liga Super Malaysia itu akan berdepan dengan Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. 

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top