Images
  • PP 2
    Paul Pogba di hadapan Kaabah. (Gambar-gambar: Paul Pogba/Instagram)

Bintang Man U termahal dunia, Paul Pogba, ucap "terima kasih" dengan lakukan umrah di Makkah

JEDDAH: Hanya tiga hari selepas Manchester United menjulang Piala Liga Europa dengan menewaskan AFC Ajax 2-0 di Stockholm, bintang bola sepak Manchester yang juga pemain paling mahal dunia, Paul Pogba, berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan ini.

Beliau tiba di Tanah Suci pada Sabtu lalu, iaitu hari pertama Ramadan, menurut laman Arab News.

Pogba memuat naik satu rakaman video di laman instagram, menunjukkan dirinya memegang bagasi di luar rumahnya di Manchester, sambil memberitahu para pengikutnya: "Saya dalam perjalanan untuk mengucapkan terima kasih (kepada Allah) bagi musim (bola sepak) kali ini. Sehingga berjumpa lagi Manchester! (Saya) dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah."


Pemain bola sepak berusia 24 tahun itu kemudian memanjatkan kesyukuran kepada Allah di Makkah dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook dan Instagram beliau dan sudah menjadi viral.

Menerusi video yang sama, Pogba dilihat memakai pakaian ihram dan menunaikan solat terawih.

Ramadan Kareem 🕋🌙 Bon Ramadan #makkah #blessed

A post shared by Paul Labile Pogba (@paulpogba) on


Namun, ini bukanlah kali pertama Pogba ke Makkah. Sebelum ini beliau pernah menunaikan ibadah haji.

Sesetengah jemaah umrah yang menyedari kehadiran Pogba tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama bintang bola sepak dunia itu, lapor Arab News.

Di laman media sosial beliau, ramai warga siber yang memberikan komen-komen positif kepada gambar dan video yang dimuat naik kerana beliau bukan sahaja selebriti yang hanya mementingkan kekayaan duniawi, malah terus menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim.


Di peringkat antarabangsa, bagi pemain di bawah usia 20 tahun, Pogba mengharumkan nama negaranya menerusi kemenangan di Piala Dunia FIFA 2013 dan membawa pulang anugerah Pemain Terbaik bagi prestasi cemerlang sepanjang perlawanan, lapor Arab News. 

Pemain midfield itu dipindahkan dengan harga AS$114 juta dari kelab Juventus pada Ogos 2016.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top