Images
  • hope solo
    Bekas penjaga gawang Amerika Syarikat, Hope Solo. (Gambar: Joe Scarnici / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Bekas penjaga gawang AS dakwa punggung diramas Sepp Blatter

AMERIKA SYARIKAT: Bekas penjaga gol kebangsaan Amerika Syarikat, Hope Solo, mendakwa punggungnya dicengkam orang kuat Fifa semasa beliau berada di atas pentas untuk memberi anugerah hampir lima tahun lalu.

Insiden itu didedahkan Hope dalam temu bual dengan akhbar Portugal, Expresso, dan disiarkan beberapa hari lalu, menurut Malaysiakini.

Berdasarkan rakaman majlis anugerah tahunan Fifa itu, Hope, 36 tahun, dilihat muncul di pentas diiringi Blatter, 81, untuk menyerahkan piala buat rakan sepasukannya, Abby Wambach, yang terpilih sebagai pemain bola sepak wanita terbaik 2012.

Majlis itu diadakan di Zurich, Switzerland, pada Januari 2013. Bekas bintang bola sepak Belanda Ruud Gullit dan personaliti TV Britain, Kay Murray menjadi hos.

"Sepp Blatter mencengkam punggung saya. Ia berlaku sejurus sebelum saya bergerak ke pentas," katanya.

Hope yang turut diingati kerana siri gambar bogelnya yang bocor di Internet berkata, amalan gangguan seksual dalam sukan bola sepak memang sesuatu yang lazim.

Sementara itu, Blatter yang dihubungi The Guardian melalui jurucakapnya menafikan dakwaan Hope.

"Tuduhan itu sangat mengarut," katanya, seperti ditukil Malaysiakini.

Bercakap kepada The Guardian kemudian, Hope memberitahu beliau terpaksa menenangkan dirinya selepas diperlakukan sebegitu untuk membolehkan beliau menyampaikan ucapan seperti dirancang serta menyerahkan piala kepada Abby.

Menggambarkan dirinya "amat terkejut", seperti dipetik Malaysiakini, Hope berkata disebabkan piala berkenaan sangat bermakna buat teman sepasukannya, fokus terus diberikan kepada majlis berkenaan.

Hope mencatat sejarah sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan Amerika setakat ini dengan 202 penampilan, termasuk mengungguli pingat emas Sukan Olimpik 2008 dan 2012 serta juara Piala Dunia 2015.

Pendedahan Hope itu berlaku ketika orang ramai masih belum melupakan kisah nafsu buas penerbit filem, Harvey Weinstein, yang dikaitkan dengan dakwaan rogol dan aksi lucah terlampau di depan pelakon Hollywood.

Melalui Instagram pula Hope menulis pengalamannya:

"Selama beberapa hari lalu saya asyik memikirkan mengenai gangguan yang saya dan/atau rakan sepasukan alami dengan pelatih, doktor, jurulatih, eksekutif malah teman satu pasukan.

"Daripada kata-kata tak patut, aksi tidak wajar, ramasan punggung hingga komen pegawai media mengenai penampilan fizikal pemain.

"Gangguan seksual berleluasa dalam sukan. Saya selalu berasa saya sudah mendepaninya dan mempertahankan diri dalam situasi itu, tetapi pelakunya mesti dihukum. Ia perlukan perubahan. Berdiam diri tidak akan mengubah dunia!"

Blatter mengetuai Fifa selama lima penggal sejak 1998 hingga 2015 sebelum dia diharamkan terbabit dalam bola sepak ekoran kesalahan etika.

Sepanjang tempoh itu dia dikritik berkali-kali termasuk berkaitan kenyataan yang dirasakan melampau, seperti mencadangkan pemain bola sepak wanita memakai seluar lebih ketat seumpama pemain bola tampar supaya perlawanan yang berlangsung lebih menarik perhatian.

- Agensi berita/IM/im

Komen Anda?

Top