Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Badminton: Chong Wei bertemu Lin Dan dalam pertarungan akhir Terbuka M'sia

Final impian antara dua legenda dan seteru utama badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pemain China, Lin Dan akhirnya menjadi kenyataan dalam  Kejohanan Terbuka Malaysia 2017. Pertarungan tersebut akan berlangsung esok (9 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Badminton: Chong Wei bertemu Lin Dan dalam pertarungan akhir Terbuka M'sia

Pemain badminton di ranking pertama dunia, Datuk Lee Chong Wei. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Apr 2017 10:48PM Dikemas Kini : 08 Apr 2017 10:54PM

KUCHING: Final impian antara dua legenda dan seteru utama badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pemain China, Lin Dan akhirnya menjadi kenyataan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2017. Pertarungan tersebut akan berlangsung esok (9 Apr).

Chong Wei, 34, kini hanya selangkah untuk menambah koleksi kemenangan ke-12 acara perseorangan lelaki, manakala Lin Dan pula mencari kejuaraan sulung di Terbuka Malaysia.

Di hadapan lebih 4,000 penonton hari ini, Chong Wei yang kini berada pada ranking pertama dunia, mara apabila dengan mudah menewaskan pemain Hong Kong, Vincent Wong semasa aksi separuh akhir di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Chong Wei menang dengan 'straight sets' 21-12, 21-9 dalam tempoh 40 minit, sekali gus menempah pertemuan dengan Lin Dan yang melayakkan diri lebih awal selepas menundukkan Son Wan Ho dari Korea Selatan, 27-25, 19-21, 21-16.

SIAPA DIJANGKA MENANG?

Berdasarkan rekod, Chong Wei hanya menang 12 kali daripada 37 pertemuannya dengan Lin Dan. Bagaimanapun pemain utama Malaysia itu menang dalam tiga pertembungan terakhir termasuk di separuh akhir Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu.

Stadium Perpaduan bukan asing buat Chong Wei kerana pada 2006 beliau menewaskan Lin Dan dalam pertarungan sengit apabila bangkit ketika ketinggalan 13-20 di set penentuan sebelum menang 23-21 dan menamatkan perlawanan dengan 21-18, 18-21, 23-21, untuk gelarannya yang ketiga berturut-turut.

Chong Wei berkata pertemuan dengan Lin Dan esok merupakan ulangan perlawanan akhir antara mereka 11 tahun lalu di tempat dan kejohanan yang sama.

"Ia adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu dan saya berjanji untuk
mempamerkan aksi terbaik esok untuk semua peminat di sini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

CHONG WEI: AYUH DATANG RAMAI-RAMAI!

Beliau juga mengakui bekas juara dunia dan Olimpik itu turut memberi
persembahan yang baik dalam aksi separuh akhir menentang So Wan Ho.

"Saya harap dapat beri persembahan terbaik esok dan turut berharap penyokong datang beramai-ramai memberi sokongan kepada saya," katanya.

Pada pertembungan sengit di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Lin Dan, selaku pemain ranking keenam dunia, terpaksa mengharungi laluan perit apabila menang tipis 27-25 pada set pertama.

Bagaimanapun, Lin Dan gagal pada set kedua dengan keputusan 19-21 sebelum bangkit semula dengan aksi menarik untuk mengesahkan tempat ke final dengan 21-16 pada set penentuan dalam pertarungan selama 84 minit.

Kejayaan ini melebarkan kemenangan Lin Dan terhadap Wan Ho kepada 10 perlawanan berbanding pemain Korea itu yang hanya menang dua kali dalam 12 pertemuan mereka.

Lin Dan turut berkata beliau bersyukur kesakitan bahagian belakang yang dialami sejak semalam tidak menjejaskan persembahannya.

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan