Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Azhar Abdul Salam buka peluang bagi karya anak S’pura dipamerkan di F1

Di Sebalik acara gah bertaraf antarabangsa yang sudah dianjurkan sebanyak sembilan kali di Singapura, tahukah anda tentang mereka yang bertungkus-lumus dan memerah keringat berbulan-bulan lamanya demi menjayakannya?

Anggaran Waktu Membaca:
Azhar Abdul Salam buka peluang bagi karya anak S’pura dipamerkan di F1

Encik Azhar (belakang, paling kanan) bersama para pelajarnya dari jurusan Pengurusan Media Massa Politeknik Nanyang. (Gambar: Azhar Abdul Salam)

SINGAPURA: Deruman enjin kereta lumba bintang-bintang F1 seperti Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel bakal mengaum di litar perlumbaan Marina Bay malam ini (17 Sep) dan pasti ramai penggemar sukan itu tidak sabar untuk melihat aksi mereka.

Namun, di sebalik acara gah bertaraf antarabangsa itu, yang sudah dianjurkan sebanyak sembilan kali di Singapura, tahukah anda tentang mereka yang bertungkus-lumus dan memerah keringat berbulan-bulan lamanya demi menjayakannya?

Sekumpulan anak muda Singapura ini diberi tanggungjawab untuk menerbitkan buletin dan rakaman video kreatif serta memaparkan kegiatan dan tugas para pegawai di balik tabir acara perlumbaan bertaraf antarabangsa itu.

Video-video dan buletin itu juga diterbitkan sebagai tanda penghargaan kepada kerja keras dan semangat berganding bahu para pegawai yang terlibat.

Ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan tanpa dorongan dan sokongan seorang pensyarah jurusan Pengurusan Media Massa Politeknik Nanyang, Azhar Abdul Salam, yang sudah bekerjasama dengan Grand Prix Singapura selama enam tahun.

MAHU LUASKAN PENGALAMAN PELAJAR

Semasa diwawancara BERITAMediacorp, Encik Azhar berkata beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan dan pernah bertugas sebagai seorang penerbit di stesen penyiar sukan ESPN.

Meskipun sudah lama meninggalkan kerjaya dalam dunia sukan, minatnya terus mekar. Malah beliau memutuskan untuk bekerjasama dengan Grand Prix F1 Singapura sebagai seorang marsyal sukarela pada tahun 2008.

Nursriwati Yusri (tengah) mewawancara seorang pegawai perlumbaan F1. (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Nursriwati Yusri (tengah) mewawancara seorang pegawai perlumbaan F1. (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Sebagai seorang guru, Encik Azhar sedar tentang pentingnya untuk meluaskan pengalaman para pelajarnya. Oleh itu beliau membuka peluang kerjasama tersebut untuk para pelajarnya.

“Setelah tiga tahun membuat kerja sukarela, saya menggunakan platform ini untuk memberi peluang kepada para pelajar saya pula untuk mengalami selok-belok acara gah dan bertaraf antarabangsa ini,” Encik Azhar memberitahu BERITAMediacorp.

Beliau menambah, dengan mengambil bahagian dalam projek sebesar F1 “ia diharap dapat meningkatkan tahap keyakinan diri para pelajar” sekaligus menajamkan kemahiran mereka.

KARYA SUDAH DIPAMERKAN DI LONDON, ZURICH

Para pelajar jurusan Pengurusan Media Massa yang dilihat sebagai berpotensi, dipilih oleh Encik Azhar untuk menyunting dan menerbitkan beberapa video dan buletin setiap tahun.

Ia bertujuan untuk merakam pengalaman para pegawai semasa mereka menjalankan tugas di Grand Prix F1. Encik Azhar memberitahu BERITAMediacorp terdapat sekitar 1,200 marsyal yang terlibat menjayakan F1 setiap tahun.

Ini termasuk marsyal kebakaran, marsyal litar lumba, marsyal pemulihan kenderaan, paramedik dan marsyal perhubungan.

Lebih membanggakan lagi ialah apabila video-video dan buletin yang diterbitkan para pelajar Encik Azhar dipamerkan di persidangan-persidangan Grand Prix F1 Singapura di luar negara seperti di London dan Zurich.

Tahun ini, BERITAMediacorp diberitahu, seramai lima pelajar dipilih untuk memikul tanggungjawab menghasilkan video, manakala lagi lima yang lain akan menyiapkan buletin.

Afiqah Syahirah (kanan) merakam video para pegawai perlumbaan. (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Afiqah Syahirah (kanan) merakam video para pegawai perlumbaan. (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Ternyata, para pelajar yang terlibat dengan projek antarabangsa seperti F1, banyak meraih manfaat dan menimba pengalaman berguna, pengetahuan dan kemahiran baru.

MULA-MULA TIDAK TAHU, LAMA-LAMA MINAT DIPUPUK

Bagi Nursriwati Yusri, 20 tahun, penuntut tahun ketiga di Politeknik Nanyang, walaupun beliau tidak begitu mengetahui tentang sukan lumba kereta itu, minat mula dipupuk setelah ditugaskan untuk menghasilkan buletin-buletin F1.

“Kami sudah mula menerbitkan surat-surat berita (buletin) ini sejak bulan Jun. Setiap bulan kami menulis tentang beberapa personaliti pegawai perlumbaan. Ia sangat mencabar kerana kami harus memastikan mutu yang tinggi dalam penerbitan kami,” kata Nursriwati, menjelaskan tentang tugas yang perlu dilakukan.

BERANIKAN DIRI DEMI HASILKAN VIDEO TERBAIK

Berbeza dengan Nursriwati, rakannya Afiqah Syahirah, yang juga dalam tahun ketiga, berpengalaman melibatkan diri dalam mengendalikan acara-acara sukan semasa menjalani latihan amali di Hab Sukan Singapura.

Nursriwati (kiri) bersama Afiqah penuntut jurusan Pengurusan Media Massa Politeknik Nanyang (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Nursriwati (kiri) bersama Afiqah penuntut jurusan Pengurusan Media Massa Politeknik Nanyang (Gambar: Azhar Abdul Salam)

Acara-acara tersebut termasuk International Champions Games dan Monster Jam yang diadakan baru-baru ini.

“Walaupun saya ada sedikit pengalaman bekerja di acara-acara sukan, saya masih seorang yang pemalu. Tapi dengan projek sebesar F1 ini, saya telah belajar untuk memberanikan diri demi menghasilkan video-video terbaik,” Afiqah memberitahu BERITAMediacorp.

Kemuncak acara Grand Prix F1 Singapura berlangsung malam ini (17 Sep) dan yang pasti Encik Azhar dan para pelajar yang dipilih tahun ini akan ghairah menantikan hasil karya mereka dipaparkan dan ditonton oleh ribuan orang semasa acara penamat selepas perlumbaan berakhir. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan