Images
  • matthew yap
    Matthew Yap sedang beraksi di pentar kejuaraan tersebut. (Gambar: Matthew Yap) 

Atlit angkat besi S'pura, Matthew Yap pecahkan 2 rekod dunia

INDIA: Pada bulan Jun lalu, atlit angkat berat Singapura Matthew Yap mencatat rekod dunia bagi acara angkat cangkung (squat) bawah 66 kilogram di Kejuaraan Klasik Powerlifting Dunia di Minsk, Belarus.

Semalam (5 Dis), atlit berbakat itu bukan sahaja memecahkan satu, tetapi dua rekod dunia di Kejuaraan Klasik Powerlifting Asia 2017 di Alappuzha, Kerala.

Rekod angkat berat bagi kategori cangkung yang diraihnya di Minsk berjaya diperbaiki Matthew di Kerala dengan mencatat 215.5 kilogram berbanding 208 kilogram sebelum ini. Dengan itu, beliau turut memenangi tempat pertama dalam acara tersebut.

Namun, kejayaan Matthew tidak berhenti di situ sahaja. Atlit yang juga penuntut Politeknik Republik itu kemudian memecahkan rekod nasional bagi acara juak baring (bench press) dengan mengangkat sebanyak 135 kilogram dan juga mencapai rekod Asia dengan dalam acara angkat biasa (deadlift) sebanyak 237.5 kilogram sekaligus dinobat juara.

Rekod dunia kedua pula menyusuli berat keseluruhan yang diangkat atlit berusia 18 tahun itu iaitu sebanyak 588 kilogram. Atlit kebanggaan Singapura itu memecah rekod warga Sweden, Eddie Berglund yang sebelum ini mencatat 585 kilogram.

Matthew berkata bahawa kemenangannya itu disebabkan abangnya yang juga merupakan jurulatihnya, Marcus Yap kerana membantunya menumpukan perhatian kepada kejuaraan tersebut dan memberi yang terbaik.

Sebelum masuk ke gelanggang pertandingan, Matthew ragu-ragu dengan kebolehannya lebih-lebih lagi pesaing terdekatnya, Dmitriy Chebanov dari Kazakhstan berjaya mengalahkannya dalam kategori keseluruhan di Minsk. Namun, abangnya menggalaknya supaya fokus pada diri sendiri.

"Saya penuh yakin terhadap dirinya bahawa dia akan berjaya," katanya.  

- CNA/SM/sm

Komen Anda?

Top