Images
  • Amir Khan
    Amir Khan. (Gambar: Amir Khan Ansari/Facebook)

Amir Khan belasah lawan; menang kali ke-4 berturut-turut

SINGAPURA: Penggiat seni bela diri campuran Singapura, Amir Khan, dengan pantas berjaya menumpaskan lawannya Rajinder Singh Meena dalam perlawanan tiga pusingan di ONE: DYSNASTY OF HEROES yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

Sebaik saja loceng berbunyi, kedua-dua atlit menuju ke tengah gelanggang sebelum Meena, yang berasal dari India, memulakan beberapa tumbukan yang dielak dengan tangkas oleh Amir, menurut laman One Championship.

Amir, 22 tahun, ditabalkan sebagai juara pada 1:29 dalam pusingan pertama setelah membelasah lawannya itu. Kemenangan ini adalah kali keempat berturut-turut sejak beliau tewas kepada Shannon Wiratchai pada tahun 2015.

"Saya tahu apabila saya masuk gelanggang saya akan menewaskan pesaing. Namun ia lebih mudah daripada yang saya jangkakan. Saya tidak mahu tergesa-gesa," kata Amir seperti yang ditukil laman One Championship.

Selepas kejayaannya itu, Amir berhasrat untuk terus melakukan yang lebih baik lagi.

"Dalam perlawanan seterusnya saya mahu salah seorang daripada pesaing yang hebat. Saya mahu memaksa diri saya melakukan yang lebih baik lagi."

Dengan kemenangan itu, Amir berjaya memperbaiki rekod beliau kepada 7-2, manakala prestasi Meena merosot kepada 8-6, menurut laman One Championship.


- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top