Images
  • alfian wins gold
    Pesilat Singapura, Muhammad Nur Alfian (kiri) dan pesilat Vietnam, Tranh Dinh Nam

Alfian bertekad pertahan gelaran jaguh silat Asia Tenggara; Nurzuhaidah intai pingat emas pertama

SINGAPURA: Siapa yang dapat melupakan titisan air mata Muhammad Nur Alfian Bin Jumaen, 20 tahun, ketika pendekar Singapura itu berdiri di podium semasa lagu kebangsaan dimainkan.

Alfian merupakan satu-satunya pesilat negara yang meraih pingat emas, iaitu yang ke-80 bagi Kontinjen Team Singapore pada 2015.


(Gambar-gambar: Helmy BERITAMediacorp)

Sukan SEA yang ke-29 bakal berlangsung tidak lama lagi dan jaguh silat Singapura itu bertekad untuk mempertahankan pingat emas yang diperolehinya dalam Kategori F dua tahun lalu.

“Saya memang tumpukan perhatian hanya untuk meraih pingat emas demi masyarakat silat dan untuk Singapura,” tegas Alfian ketika ditemui BERITAMediacorp semasa beliau sedang gigih berlatih di OCBC Arena.

TETAP MENANG WALAU DIHAMBAT KECEDERAAN

Persiapan Alfian sepanjang dua tahun ini bukan mudah kerana dihambat pelbagai masalah kecederaan. Namun, beliau tetap menunjukkan prestasi yang cemerlang dek semangat juangnya yang tinggi.

Misalnya, dalam pertarungan peringkat akhir Sukan SEA 2015, kaki Alfian berdarah semasa berdepan dengan Tran Dinh Nam dari Vietnam sehinggakan wasit terpaksa menghentikan pertarungan buat seketika supaya kecederaannya dapat dirawat dengan segera.

Setahun kemudian, Alfian sekali lagi mengalami kecederaan semasa bertanding. Kali ini, tapak tangannya retak semasa bertarung dengan lawannya, Nguyen Duy Tuyen di peringkat akhir Kejohanan Pencak Silat Asia 2016. Sungguhpun demikian, Alfian tetap berjaya menewaskan pesilat Vietnam itu dengan memperolehi kemenangan 4-1.

Pada 2016, Alfian turut meraih pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 dan menjuarai Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Belgium.

Awal tahun ini, Alfian mengalami kecederaan yang serius, iaitu kecederaan ligamen krusiat anterior.

Ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang, beliau tidak sekali-kali berputus asa, sebaliknya terus bertekad untuk meraih sebutir lagi pingat emas!

MAHU MENANG PINGAT EMAS DALAM KEMUNCULAN SULUNG

Pasukan silat negara juga akan menampilkan beberapa muka baru dalam kontinjen Sukan SEA kali ini.

Salah seorang muka baru yang bercita-cita untuk meraih pingat emas dalam kemunculan sulung seperti Alfian ialah Nurzuhairah Binte Mohammad Yazid, 19 tahun.


Lulusan Kolej Tengah ITE dalam jurusan perniagaan dan perkhidmatan itu akan mewakili negara dalam kedua-dua kategori tunggal dan regu bagi kategori seni.

“Bagi Sukan SEA ini, saya ingin meraih pingat emas untuk kedua-dua kategori yang saya ambil bahagian iaitu tunggal dan juga regu,” kata Nurzuhairah yang bersemangat untuk memperbaiki prestasinya setelah meraih pingat gangsa dalam kategori regu di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali.

Nurzuhairah memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau berjinak-jinak dengan silat sejak berusia 12 tahun kerana kagum dengan bekas juara dunia Saiedah Said. Malah, adiknya, Nurzianah Binte Mohammad Yazid, 15 tahun, turut menyertai sukan bela diri ini dan sudah mewakili negara di beberapa kejohanan remaja antarabangsa.

“Ramai orang selalu cakap perempuan tak boleh pergi jauh, tak boleh sampai ke tua, tapi untuk saya, untuk generasi sekarang, kadang-kadang perempuan yang lebih kuat daripada lelaki bukan sahaja fisikal tapi juga dari segi mental,” tegas Nurzuhairah.

CABARAN BERLATIH DALAM BULAN PUASA

Tidak kira lelaki atau wanita, semua pesilat Team Singapore tetap menjalani latihan “penuh” walaupun sedang berpuasa.

“Saya ingin melihat daya tahan mereka. Adakah mereka ingin menyerah kalah atau terus berjuang demi Sukan SEA nanti,” kata jurulatih pasukan silat negara, Encik Sheik Alau’ddin.

Beliau menambah: “Pasukan-pasukan dari negara lain tetap menjalani latihan secara maksikum, jadi Team Singapore tidak boleh terkecuali walaupun berpuasa.”

Lantaran itu, kedua-dua Alfian dan Nurzuhairah meluahkan rasa syukur mereka kerana mendapat sokongan keluarga dan para pesilat lain.

“Walaupun tidak dapat berbuka puasa bersama keluarga di bulan Ramadan ini, saya dan keluarga tetap dapat bersahur sama-sama sedangkan pada bulan-bulan lain kami mungkin tidak dapat berbuat demikian. Sermasa bersahur, kita berbual-bual tentang sukan yang saya ceburi ini dan dengan cara ini saya yakin bahawa mereka sentiasa menyokong saya.”

Alfian turut mendedahkan bahawa para pesilat lain dalam pasukannya juga menjadi inspirasi untuk beliau mencapai kejayaan sebelum menamatkan wawancara bersama BERITAMediacorp.

Komen Anda?

Top