Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Adakah persaingan Liga Perdana England sudah berakhir? Manchester City pasti menang?

Kemenangan Manchester City ke atas pesaing hebatnya Manchester United memberikan City kelebihan 11 mata di tangga pertama Liga Perdana England. Ini seolah-olah membuatkan City hampir tidak boleh dikejar lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah persaingan Liga Perdana England sudah berakhir? Manchester City pasti menang?

Gambar pasukan bola sepak Manchester City. (Gambar: OLI SCARFF / AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2017 12:11AM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 12:20AM

ENGLAND: Kemenangan Manchester City ke atas pesaing hebatnya Manchester United memberikan City kelebihan 11 mata di tangga pertama Liga Perdana England. Ini seolah-olah membuatkan City hampir tidak boleh dikejar lagi.

Jaringan gol oleh David Silva dan Nicolas Otamendi yang memberikan City kemenangan 2-1 di Old Trafford semalam (10 Dis), membuatkan bos United, Jose Mourinho, mengeluh bahawa persaingan memburu mahkota Liga Perdana mungkin 'sudah tamat', meskipun masih ada lagi lima bulan perlawanan.

Rekod City semakin baik saban minggu di bawah pengurusan Pep Guardiola.

Ia kini menang 14 pertarungan berturut-turut dalam Liga Perdana dan memungut 46 mata selepas 16 perlawanan. Ini cukup untuk menduduki tangga ke-8 dalam musim Liga Perdana yang lalu.

Hakikatnya, City kini seperti di atas awang-awangan setelah berjaya menumpaskan kedua-duanya - juara bertahan Chelsea dan naib juara, United.

Legenda bola sepak dan bekas kapten pasukan England, Alan Shearer, menulis di laman BBC bahawa beliau tidak melihat sesiapa dapat mengejar anak-anak buah Guardiola meskipun musim baru mencecah pertengahan Disember.

Bekas pemain Manchester United dan pemain pertahanan England, Gary Neville pula menyifatkan City sebagai bermain "di tahap berbeza" daripada United.

"Sukar untuk melakukan apa yang City sudah lakukan sekarang, pergi ke Chelsea dan bermain sebegitu dan datang ke sini (Old Trafford) dan ... menunjukkan kuasa dan keyakinan," kata Neville dalam wawancara dengan Sky Sports.

"Tidak banyak pasukan datang ke sini sejak 25 atau 30 tahun lalu dan menguasai permainan seperti itu," tambah beliau lagi.

Neville menambah bahawa beliau malah melihat para peminat United memberi tepukan kepada para pemain dan pengurus City di akhir perlawanan.

Ketika ditanya pandangannya pula sama ada Manchester City sudah pasti bergelar juara, Guardiola lebih berwaspada dan menjawab: "Anda tidak boleh menjadi juara pada bulan Disember." 

Sumber : AFP/DY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan