Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

5 ‘perkara luar biasa’ yang menghangatkan Sukan SEA 2017

Bagi temasya dwitahunan itu yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia tahun ini, ia tidak sunyi daripada “perkara-perkara luar biasa” yang menarik perhatian orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
5 ‘perkara luar biasa’ yang menghangatkan Sukan SEA 2017

Susunan bendera negara yang berterabur disiarkan di stesen televsiyen Malaysia. (Gambar: Laman Facebook)

KUALA LUMPUR: Dengan edisi ke-29 Sukan SEA yang melabuhkan tirainya pada Rabu (30 Ogos), Team Singapore dapat berasa bangga kerana berjaya memecahkan rekod pingat emas terbanyak yang diraih di luar negara.

Lebih tepat lagi pencapaian kali ini merupakan pencapaian yang kedua terbaik, yang pertama adalah prestasi semasa ia dianjurkan di Singapura pada tahun 2015.

Bagi temasya dwitahunan itu yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia tahun ini, ia tidak sunyi daripada “perkara-perkara luar biasa” yang menarik perhatian orang ramai.

BERITAMediacorp mengimbas kembali lima “perkara luar biasa” di Sukan SEA 2017, yang menjadi tumpuan orang ramai meskipun ia berlaku disebabkan faktor-faktor yang tidak dijangka langsung.

1.BENDERA, OH BENDERA!

Buku panduan yang menunjukkan bendera Indonesia terbalik. (Gambar: Twitter/ @imam_nahwari)

Buku panduan yang menunjukkan bendera Indonesia terbalik. (Gambar: Twitter/ @imam_nahwari)

Upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Negara Bukit Jalil berjaya memukau orang ramai. Manakan tidak, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin menjanjikan persembahan terbaik bagi para penonton di stadium dan di rumah yang melibatkan juga penggunaan teknologi tercanggih.

Namun, yang menjadi perhatian utama keesokan hari adalah kesilapan yang berlaku berhubung bendera Indonesia di dalam sebuah buku panduan. Bendera negara itu dicetak terbalik. Ini sehinggakan Encik Khairy sendiri memohon maaf secara terbuka kepada rakan sejawatnya melalui Twitter dan isu itu mendapat respons daripada Presiden Indonesia Joko Widodo sendiri.

Yang menghairankan, “virus bendera” nampaknya tidak terjadi sekali saja. Pada 25 Ogos, viral pula kisah bendera beberapa negara yang menyertai temasya berkenaan bertukar antara satu sama lain dalam paparan pungutan pingat yang dimenangi atlit seperti mana disiarkan di saluran TV2 RTM.

Dalam laporan terkini, dilaporkan di media Malaysia bahawa orang yang bertanggungjawab atas kesilapan itu akan dihadapkan di mahkamah dan mungkin digantung daripada tugasnya.

2.ULTRAS MALAYA

Penyokong tegar Ultra Malaya pada tahun 2016. (Gambar: Facebook / ULTRAS ACAB)

Sokongan padu para penyokong pasukan bola sepak Malaysia, yang dikenali sebagai Ultras Malaya, tidak dapat disangkal lagi. Bukan saja mereka terus bernyanyi dan bersorakan sepanjang perlawanan, semangat mereka itu membuat Ultras Malaya kerap disenarai antara 10 penyokong terbaik di Asia, menurut laman-laman online.

Namun, dalam satu perlawanan menentang Singapura, Ultra Malaya menjadi tajuk berita atas tingkah laku mereka melaungkan lagu yang berbunyi seperti “Singapore itu anjing!”.

Ini bukan pertama kali hinaan sebegitu dilontarkan kepada pasukan Singapura. Pada 2012, rakaman yang menunjukkan hinaan itu dimuat naik sehingga mencetuskan kemarahan para penyokong Singapura.

Susulan itu, penganjur Sukan SEA menggesa para penyokong supaya menjaga tingkah laku semasa memberikan sorakan kepada pasukan mereka.

Selang berapa hari pula semasa Malaysia menentang Myanmar, Ultras Malaya menarik perhatian sekali lagi. Namun kali ini, mereka dipuji para netizen kerana melaungkan slogan “Save Rohingya” dan menyanyikan lagu ‘Selamat Malam Rohingya’ nyanyian kugiran Sahabat sepanjang 90 minit.

3.PEMENANG BAWA PULANG POKOK?

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin bersama isteri, Nori Abdullah dan anaknya, Raif Averroes Khairy pada Majlis Pelancaran Program Satu Pingat, Satu Pokok di KL Sports City. (Gambar: Bernama)

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin bersama isteri, Nori Abdullah dan anaknya, Raif Averroes Khairy pada Majlis Pelancaran Program Satu Pingat, Satu Pokok di KL Sports City. (Gambar: Bernama)

Jika anda perasan, para atlit yang memenangi pingat di setiap acara temasya edisi ini akan mendapat pingat, maskot mini dan sebatang pokok kecil. Perkara unik itu menarik perhatian para penonton sehingga ada yang tertanya-tanya apakah maksud atau manfaat para atlit membawa pulang sebatang pokok.

Sebenarnya, langkah itu diambil pihak tuan rumah bagi mengimbangi jumlah karbon yang dihasilkan sepanjang temasya tersebut dijalankan. Laporan Bernama menjelaskan sebatang pokok akan ditanam bagi setiap pingat yang berjaya diraih atlit negara berkenaan.

Ini sekaligus memperkasakan Inisiatif Hijau negara itu sempena menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. “KL2017 bukan semata-mata landasan memburu pingat, ia juga adalah platform untuk perlaksanaan program legasi yang mampu meninggalkan impak positif kepada generasi muda. Inisiatif Hijau, contohnya, telah dilaksanakan untuk menghebahkan, mengajar dan menerapkan nilai-nilai murni mengenai alam sekitar,” jelas Encik Khairy.

4.PUTERA KAYANGAN – PENGIRAN ABDUL MATEEN

Putera Brunei, Pengiran Abdul Mateen. (Gambar: Instagram/ Mateen)

Putera Brunei, Pengiran Abdul Mateen. (Gambar: Instagram/ Mateen)

Putera negara Brunei Pengiran Abdul Mateen, yang beraksi dalam sukan polo, bukan saja mencuri perhatian media tetapi nampaknya mencuri juga hati gadis-gadis di sana. Dalam satu video, para gadis itu dilihat seperti “menggila” apabila putera idaman mereka keluar dari khemahnya untuk berinteraksi dengan para penyokong.

Bukan itu saja, mereka merebut peluang keemasan itu mengambil selfie bersama putera berkenaan. Dan dalam satu hari saja, video itu mendapat sekitar 55,000 tontonan.

Lebih menggeletek jiwa, terdapat juga sebilangan gadis yang meluahkan dilema mereka untuk memberi sokongan kepada siapa. Ini kerana Pengiran Abdul Mateen yang mewakili Brunei akan menentang dengan pasukan polo Malaysia yang dianggotai Encik Khairy, yang disifatkan di kalangan gadis sebagai “daddy idaman”.

5.MALAYSIA VS INDONESIA

Bantahan yang dilakukan para pegawai pasukan bola sepak Indonesia. (Gambar: Laman YouTube)

Jika harapan para pemimpin kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia adalah untuk tidak memperbesarkan isu bendera terbalik, nampaknya ia tidak kesampaian. Insiden itu nampaknya seperti pencetus pertikaian antara para penyokong kedua-dua pihak di media sosial merata platform.

Menyusuli peristiwa itu, timbul pula insiden pasukan sepak takraw wanita yang memboikot perlawanan menentang Malaysia dengan alasan sikap pengadil yang didakwa membuat beberapa keputusan berat sebelah. Persaingan antara kedua-dua negara itu semakin sengit dalam perlawanan separuh akhir sukan bola sepak.

Dalam satu video yang viral di media sosial menunjukkan para pemain bola sepak Indonesia meluahkan bantahan kepada para penyokong Malaysia selepas perlawanan berkenaan.

Jurulatih Indonesia mendakwa semasa sidang media pasca perlawanan tersebut bahawa para pemain simpanan mereka dijadikan sasaran untuk para penyokong Malaysia melontarkan barang-barang.

Menjelang hari terakhir temasya kali ini pula, muncul beberapa video di YouTube oleh pihak Indonesia yang menunjukkan beberapa kesangsian terhadap Sukan SEA 2017 ini, termasuk dakwaan tentang kemenangan pesilat acara ganda seni lelaki Malaysia. Namun, tidak dapat dipastikan jika dakwaan-dakwaan itu benar-benar sahih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan