Images
  • saiyidah aisyah
    Atlit sukan dayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee. (Gambar fail: TODAY)

4 Fingers taja Aisyah S$6,000, lagi S$2 disalur bagi setiap jualan burger

SINGAPURA: Atlit sukan dayung Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee, mengharungi perjalanan penuh liku dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio.

Kesemua wang simpanannya habis semasa kempennya untuk melayakkan diri ke temasya sukan berprestij itu.

Bahkan, atlit berusia 28 tahun itu terpaksa menggunakan kaedah 'crowdfunding' atau pendanaan orang ramai, pada Februari lalu demi mengumpul dana bagi menjalani latihan di Australia. Usahanya itu berjaya mengumpul sejumlah S$12,500.

Namun kini, masalah kewangan yang membelenggu Aisyah berakhir jua.

Rangkaian restoran makanan segera, 4 Fingers Crispy Chicken, memberikan Aisyah tajaan wang tunai S$6,000.

Di bawah perjanjian selama tiga bulan itu, Aisyah akan menerima S$2,000 setiap bulan mulai sekarang sehingga Ogos ketika Sukan Olimpik diadakan.

$2 BAGI SETIAP PENJUALAN BURGER

Tambahan lagi, 4 Fingers juga akan menyalurkan S$2 bagi setiap penjualan "Burger X.B.F.F" kepada Aisyah bagi membiayai latihannya. Restoran itu berharap dapat menjual sekurang-kurangnya 2,400 burger itu dalam tiga bulan akan datang ini, bagi meraih tajaan tambahan S$4,000.

Steen Puggaard, CEO 4 Fingers, berkata syarikatnya mengiktiraf dedikasi dan semangat yang ditunjukkan Aisyah untuk melayakkan diri ke Olimpik Rio.

"Sukan dayung bukan sukan yang mainstream di Singapura. Ia kecil dan tidak diberi banyak dana. Meskipun begitu, Aisyah berjaya mengatasi segala cabaran dan tidak pernah berputus asa untuk mencapai impiannya," kata Encik Puggaard, yang juga aktif dalam sukan dayung.

"Dengan menyokong Aisyah, kami melihatnya sebagai satu cara bagi syarikat kecil kami melakukan sesuatu bagi seseorang dengan impian besar, yang benar-benar layak menerimanya," ujarnya lagi.

Kempen selama 10 bulan bagi Aisyah melayakkan diri ke Olimpik Rio akhirnya membuahkan hasil di kelayakan Olimpik Asia dan Oceania di Korea Selatan.

Di situ, beliau memenangi perlumbaan akhir itu dan mencatat kedudukan ketujuh secara keseluruhannya di acara perseorangan wanita 2,000 meter. Beliau sekaligus menjadi atlit sukan dayung pertama Singapura melayakkan diri ke Olimpik.

Aisyah juga layak menerima dana dari Sport Singapore di bawah program bantuan kewangan Race to Rio, selain bayaran bulanan yang diterimanya sejak April di bawah skim spexScholarship.

RASA LEGA BEBAN KEWANGAN DIRINGANKAN

Aisyah, yang meninggalkan Singapura bagi kem latihan sebulan di London kelmarin (9 Jun), melahirkan rasa lega dan syukur kepada 4 Fingers kerana memberikan sokongan tanpa bersyarat itu.

"Tajaan ini akan meringankan beban kewangan yang saya alami sejak dulu lagi ketika saya cuba melayakkan diri ke Olimpik," kata Aisyah, yang berhenti bekerja sebagai pegawai pembangunan pelajar di Politeknik Ngee Ann untuk menjalani latihan sepenuh masa.

"Dengan perjanjian ini, ia akan memberi saya peluang untuk menambah wang simpanan saya, dan membantu membiayai sebarang perbelanjaan rencam yang mungkin perlu ditanggung dalam masa beberapa bulan ini. Ini memberikan saya ketenangan untuk memberi tumpuan penuh terhadap latihan," katanya.

Sokongan dari 4 Fingers juga akan menaikkan semangat Aisyah, yang menyasarkan untuk berada dalam senarai 24 kedudukan teratas dalam perlumbaan perseorangan wanita 2,000m di Brazil.

"Saya mahu memperbaiki ranking saya di kalangan para pesaing Asia saya, jadi matlamat saya ialah untuk mara ke peringkat akhir.

"Ia di mana semua pesaing Asia biasanya akan bersaing, dan akan menentukan atlit sukan dayung di kedudukan 19 hingga 24 teratas," kata Aisyah. 

- TODAY/nd

Komen Anda?

Top