Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

3 letupan gegarkan Dortmund, pemain cedera jelang perlawanan genting

Tiga letupan menggegarkan sebuah bas pasukan Borussia Dortmund, menyebabkan pemain antarabangsa Sepanyol Marc Bartra cedera.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Apr 2017 08:15AM Dikemas Kini : 13 Apr 2017 04:11AM

DORTMUND, Jerman: Tiga letupan menggegarkan sebuah bas pasukan Borussia Dortmund, menyebabkan pemain antarabangsa Sepanyol Marc Bartra cedera, sedang pasukan Jerman itu dalam perjalanan untuk ke perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Monaco pada Selasa (11 Apr).

Bartra perlu menjalani pembedahan pada pergelangan tangan setelah cedera akibat serpihan kaca yang melantun, maka perlawanan suku akhir itu ditangguhkan pada hari ini (12 Apr) disebabkan serangan tersebut.

Kelab itu menyatakan para pemain Dortmund yang lain bagaimanapun berada dalam keadaan "terkejut" namun selamat.

"Kami berpendapat ia adalah serangan yang disasarkan terhadap pasukan Dortmund," menurut Ketua Polis bahagian barat Jerman Gregor Lange, sambil menambah bahawa ia bukan serangan pengganas.

Pihak pendakwa raya tempatan juga mendedahkan sepucuk surat yang dijumpai berdekatan tempat kejadian, yang berlaku sejurus selepas bas pasukan itu bergerak dari hotel.

"Kesahihannya sedang disahkan," pendakwa raya Sandra Luecke memberitahu para wartawan, tanpa memberikan maklumat terperinci mengenai isi kandungannya.

Bas tersebut baru saja bergerak menghala ke stadium Borussia kira-kira 10 kilometer jauhnya apabila "tiga letupan meletus," menurut polis.

Bahan-bahan letupan itu, yang meletus sejurus selepas pukul 7.00 malam (pukul 1.00 pagi waktu Singapura, 12 April), tersembunyi di sebalik pohon-pohon renek dan meletup sebaik saja bas melalui kawasan tersebut.

Letupan itu menyebabkan tingkap-tingkap bas pecah berderai dan bahagian kanannya terbakar.

"Bas itu sedang membelok ke jalan utama, apabila terdapat bunyi yang kuat - letupan yang kuat," penjaga gawang Dortmund, Roman Burki memberitahu media Switzerland.

"Seleas letupan itu, kami yang di dalam bas lalu membongkok. Sesiapa yang sempat, dapat segera meniarap di lantai bas. Kami tidak tahu jika akan ada lebih banyak letupan."

Menurut Burki, Bartra cedera "akibat serpihan kaca".

Seorang jurucakap media Dortmund mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu akan "dibedah, beliau mengalami tulang yang retak pada bahagian kanan pergelangan tangannya dan terdapat objek-objek asing dalam tangannya."

Menurut kelab itu, para pemain lain selamat dan tidak ada bahaya dalam stadium Signal Iduna Park.

Pemain penyerang Pierre-Emerick Aubameyang pula dilihat dibawa pergi dari bas pasukan itu.

"Seluruh pasukan sedang dalam keadaan terkejut, anda tidak akan dapat menghapuskan perkara seperti itu dari dalam ingatan," kata CEO Dortmund Hans-Joachim Watzke.

"Saya berharap pasukan ini dapat meneruskan perlawanan esok (12 Apr). Dalam keadaan krisis seperti ini, Borussia bersatu."

"SUKAR TERIMA HAKIKAT"

Pengumuman bahawa perlawanan itu ditangguh esok dibuat hanya sekitar 15 minit sebelum ia bermula.

Menurut UEFA, perlawanan itu akan berlangsung esok pada pukul 6.45 (12.45 pagi waktu Singapura), sambil menambah keputusan itu diambil setelah berunding dengan kelab dan pihak berkuasa tempatan.

Dortmund turut menyampaikan pengumuman yang dibuat menerusi laman Twitternya mengenai letupan itu di dalam stadium bagi memaklumkan kepada para peminat.

Kelab itu juga menggesa para peminat yang berada di stadium supaya jangan cemas.

Stadium itu kemudian dikosongkan sebelum para pemain Monaco tiba untuk menjalani sesi latihan.

Presiden Dortmund Reinhard Rauball berkata beliau yakin pasukan itu akan bersedia bagi perlawanan esok.

"Para pemain akan dapat menanganinya dan bersedia untuk meneruskan perlawanan seperti biasa," kata beliau.

"Perkara yang paling teruk adalah, mereka yang melancarkan serangan ini berjaya menjejas para pemain."

Namun bekas pemain Dortmund Steffen Freund, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah dengan Borussia pada tahun 1997, berkata insiden itu tetap akan meninggalkan kesan.

"Bila ada serangan langsung dalam bas pasukan, ia tidak mungkin dilupakan menjelang esok (12 Apr)," kata pemain berusia 47 tahun itu.

"Sukar untuk menerima hakikat itu baik dari segi mental mahupun psikologi, banyak yang perlu ditangani."

KAWALAN KESELAMATA DIPERKETAT

Menurut polis Dortmund kawaan keselamatan akan diperketat semasa perlawanan esok, dengan lebih ramai pegawai dikerahkan bagi "memastikan perlawanan berlangsung dengan selamat".

Secara berasingan, kawalan keselamatan juga diperketat di satu lagu perlawanan sengit Liga Juara-Juara Eropah di Jerman esok - antara Bayern Munich dengan Real Madrid.

Jerman sudahpun mula menaikkan tahap berjaga-jaga ke peringkat tinggi sejak serangan di Berlin pada bulan Disember lalu, apabila seorang warga Tunisia merampas sebuah lori dan merempuh orang ramai, mengorbankan 12 orang.

Pasukan bola sepak negara Jerman, yang termasuk beberapa orang pemain Dortmund, juga berada di Stade de France di Paris apabila anggota militan melancarkan serangan di ibu kota Perancis itu pada bulan November 2015, menyebabkan 130 orang mati.

Pasukan Bartra yang sebelum ini, Barcelona, turut melahirkan rasa simpati menerusi catatan di laman Twitternya: "Kami memberikan sokongan sepenuhnya kepada @MarcBartra, @BVB dan para peminat mereka."

Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy juga mengharap "kesembuhan segera" buat Bartra menerusi catatan di laman twitternya.

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan