Images
  • junaidi and friends
    3 atlit Melayu yang mewakili negara dalam kejohanan sedunia. (Gambar: Danial Hakim/ Peloton Images Asia)

3 atlit Melayu antara pasukan pertama mewakili S'pura dalam kejohanan lumba basikal sedunia

SINGAPURA: Sebuah pasukan pelumba basikal berangkat ke Cairns, Australia esok (3 Sep) untuk bersaing dalam Kejohanan Dunia UCI.

Mereka merupakan pasukan pertama yang mewakili Singapura dalam kejohanan itu.

Antara anggotanya ialah tiga anak Melayu, dua daripada mereka masih bersekolah.

Riyadh dan Arfan berkongsi cabaran serta harapan bertanding dalam perlumbaan peringkat sedunia

BAKAT DAN POTENSI DIKESAN


Melalui gambar dan video Instagram Riyadh berbasikal pada masa lapang, Encik Junaidi Hashim dan Encik Danial Hakim, pengasas bersama syarikat pengurusan atlit prestasi tinggi J/D Development Project, melihat bakat dan potensinya dalam sukan lumba basikal lalu mengajaknya untuk memasuki pasukan mereka.

Dalam tempoh satu tahun sahaja, Riyadh sudah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan lumba basikal termasuk di negara Jepun, China, Switzerland dan Malaysia.

Kini, beliau melangkah setapak lagi untuk mencipta nama di Kejohanan Dunia UCI.

"Ini pertama kali Singapura menghantar pasukan basikal gunung ke pertandingan dunia. Kita akan cuba yang terbaik. Kami ingin melihat kedudukan kami di peringkat antarabangsa," katanya.

Keluarga Riyadh memberi sokongan penuh kepadanya.

Malah, bapanya, seorang pemandu teksi, sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mengikut beliau ke Cairns sepanjang sembilan hari.

Pelajar tahun ketiga dalam jurusan perakaunan Politeknik Singapura itu amat bersyukur rakan-rakan sekolah beliau faham akan kesibukannya.

DIDEDAHKAN KEPADA SUKAN LUMBA BASIKAL SEKECIL 3 TAHUN


(Gambar-gambar: Danial Hakim/ Peloton Images Asia)

Tidak seperti Riyadh, Arfan diberi pendedahan pada sukan ini seawal tiga tahun.

Ini kerana bapanya sendiri merupakan seorang pelumba basikal.

Namun, beliau mendapati dirinya kadang keletihan akibat perlu mengimbangi masa sebagai seorang pelajar maktab rendah Pioneer dan juga sebagai seorang pelumba basikal.

Arfan tetap berharap akan berjaya dalam sukan yang diminatinya ini.

"Saya harap boleh, pertama sekali, buat yang terbaik. Untuk saya. Kedua adalah jika saya boleh lakukan yang sebaik-baiknya dan mendapat kedudukan yang bagus, saya boleh melayakkan diri untuk Sukan Olimpik Belia tahun depan," kata Arfan.

Sebenarnya, pasukan itu menghadapi kesukaran mendapatkan tajaan dan sokongan untuk memasuki pertandingan ini.

Untuk kejohanan dunia ini sahaja, pasukan ini menghabiskan sekitar $20,000.

Encik Danial Hakim, selaku pengurus pasukan ini berharap, lebih ramai akan tampil ke hadapan untuk memberi sokongan kepada mereka.

Beliau yakin akan keupayan pasukannya dan belia seperti Riyadh dan Arfan mampu mencipta sejarah sebagai atlit Melayu yang berjaya dan disegani pada suatu hari nanti.  

- BERITAMediacorp/AQ/ru

Komen Anda?

Top