Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prof Koh: Mantan Presiden Nathan "duta S'pura yang luar biasa"

Profesor Tommy Koh menyifatkan Encik S R Nathan sebagai "duta besar Singapura yang sungguh luar biasa di peringkat antarabangsa".

Anggaran Waktu Membaca:
Prof Koh: Mantan Presiden Nathan "duta S'pura yang luar biasa"

Pengawal khas menjaga jenazah mendiang mantan Presiden S R Nathan di Bangunan Parlimen. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 26 Aug 2016 04:51PM Dikemas Kini : 26 Aug 2016 05:20PM

SINGAPURA: Dalam euloginya di Upacara Persemadian Negara bagi mantan Presiden S R Nathan, Profesor Tommy Koh menyifatkan mendiang Encik Nathan sebagai "duta besar Singapura yang sungguh luar biasa di peringkat antarabangsa".

Dalam ucapannya di upacara persemadian itu bagi mewakili Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Perkhidmatan Luar Singapura, Profesor Koh yang juga Duta Kelana Singapura turut menarik perhatian mengenai pencapaian Encik Nathan seperti peranan penting yang dimainkan mendiang dalam membangunkan perkhidmatan luar.

Pada 1978, mendiang diberikan mandat oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Kuan Yew untuk merubah MFA menjadi sebuah kementerian kelas pertama atau ia akan ditutup jika gagal menepati matlamat tersebut.

"Seperti yang kita tahu, Encik Lee Kuan Yew amat berpegang teguh pada piawai yang tinggi. Meskipun kementerian itu masih baru dan kami pula masih sedang dalam proses belajar, Encik Lee tetap mahukan yang terbaik. Beliau mengharapkan mutu yang tinggi dan ia mesti selaras dengan piawai tinggi seperti yang ditetapkan berkurun-kurun lamanya oleh Pejabat Luar Britain," kata Profesor Koh.

Untuk menepati matlamat tersebut, Encik Nathan merekrut para pegawai muda yang berbakat untuk menyertai beliau.

Menurut Profesor Koh, Encik Nathan berpegang teguh pada disiplin yang tinggi, kerja keras, kepintaran dan kecekapan. Lebih penting lagi, beliau sangat mengutamakan sifat taat setia dan dedikasi kepada tugas dan tanggungjawab.

Atas prinsip-prinsip tersebut, Encik Nathan berjaya merubah kementerian ehwal luar sehingga menjadi sebuah kementerian bertaraf dunia dalam masa dua tahun saja.

Menurut Profesor Koh lagi, berkat asas kukuh yang dilakarkan oleh Encik Nathan, MFA dan Perkhidmatan Luar Singapura kini disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia.

Profesor Koh juga memberi sanjungan kepada khidmat cemerlang Encik Nathan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia dan Duta Besar Singapura di Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa sebahagian besar peranan diplomatik yang paling penting dimainkan mendiang adalah sebagai Presiden Singapura yang keenam.

"Sepanjang tempoh khidmat selama 12 tahun, jumlah lawatan mendiang ke luar negara adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan bilangan lawatan luar negara yang dilakukan oleh kesemua penyandang jawatan terdahulu. Melalui lawatan-lawatan ke luar negara ini, beliau berupaya mengukuhkan hubungan dengan negara-negara lain, memperluaskan pengaruh politik dan ruang ekonomi, di samping membuka pasaran baru dan menjana banyak peluang ekonomi untuk mengembangkan perdagangan dan perniagaan Singapura."

Menurut Profesor Koh, Encik Nathan juga begitu bijak dan cekap dalam setiap urusan dengan para pemimpin dan negara-negara asing.

"Mungkin kerana latihannya dalam bidang kerja sosial, beliau dapat menjalin hubungan yang erat dan mesra dengan sesiapa saja yang berhubungan dengan beliau. Mendiang dianugerahi dengan daya ingatan yang kuat dan begitu mudah beramah mesra. Dengan itu, beliau dapat memperluaskan lagi rangkaian sahabatnya sehingga menjadi rakan Singapura."

Semasa menyampaikan euloginya, Profesor Koh berkata Encik Nathan mendidik rakyat Singapura menjadi berani dan tidak gentar mempertahankan kepentingan negara.

Kata Profesor Koh, Encik Nathan akan sentiasa dikenang dan diiktiraf sebagai salah seorang pengasas MFA dan Perkhidmatan Luar. 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan