Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen beri penghormatan kepada mendiang mantan Presiden Nathan

Parlimen hari ini (13 Sep) memberi penghormatan khas kepada mendiang mantan Presiden S R Nathan.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen beri penghormatan kepada mendiang mantan Presiden Nathan

Gambar fail mantan Presiden S R Nathan. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 13 Sep 2016 02:14PM Dikemas Kini : 13 Sep 2016 02:27PM

SINGAPURA: Parlimen hari ini (13 Sep) memberi penghormatan khas kepada mendiang mantan Presiden S R Nathan.

Encik Nathan meninggal dunia dengan tenang di Hospital Besar Singapura pada 22 Ogos, tiga minggu selepas diserang angin ahmar. Beliau berusia 92 tahun.

Bercakap di Parlimen hari ini, Speaker Parlimen Halimah Yacob memberi sanjungan bukan sahaja kepada "kerjaya cemerlang" Encik Nathan dalam kesatuan-kesatuan sekerja dan perkhidmatan awam, tetapi juga kepada "sikap rendah dirinya" dan "keinginan mendalamnya untuk membantu golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat."

Ini, kata Cik Halimah, mendorong beliau untuk menubuhkan Cabaran Presiden dan melibatkan masyarakat dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

Bahkan, mendiang Encik Nathan juga mesra dan selesa dengan kedua-dua rakyat biasa dan mereka yang memegang jawatan-jawatan tinggi, tambah Cik Halimah.

"Beliau selalu baik hati dengan semua orang, menghulurkan bantuan seberapa beliau mampu. Beliau sentiasa aktif meskipun pada hari-hari terakhir hayatnya, dan membenarkan hati nuraninya menjadi kompas bagi semua keputusan yang perlu dilakukannya," kata beliau.

"Encik S R Nathan mempunyai kehidupan luar biasa dan beliau rakyat yang patut dicontohi. Saya berharap riwayat hidupnya bukan sahaja mendapat tempat dalam buku-buku sejarah, tetapi menjadi inspirasi kepada generasi-generasi akan datang rakyat Singapura," tambahnya.

Peranan Encik Nathan dalam insiden rampasan feri Laju pada 1974 juga digariskan di Parlimen. Dalam ucapannya, Ketua Dewan, Grace Fu berkata insiden itu menunjukkan "rasa tanggungjawab tidak berbelah baginya terhadap negara." Beliau menambah, hanya segelintir warga Singapura tahu tentang peranannya dalam kejadian itu sehinggalah baru-baru ini, namun "dengan pemergiannya, beliau menjadi hero untuk generasi baru."

Sebagai Presiden dari kaum minoriti, Encik Nathan juga contoh terbaik Singapura yang berbilang kaum, kata Cik Fu.

"Beliau sahabat kepada semua rakyat Singapura, tidak kira kaum atau agama," katanya, mengimbas kembali kata-kata Encik Nathan apabila beliau mengangkat sumpah menjadi Presiden pada 1999. Beliau ketika itu berkata beliau akan menjadi Presiden bagi semua warga Singapura, dengan setiap masyarakat Singapura menjadi tanggungjawabnya.

"Dakapan mesra Encik Nathan kepada rakyat Singapura dari pelbagai kaum dan agama dan semua lapisan masyarakat adalah sesuatu yang akan dikenang kita semua.

"Beliau menjalin hubungan mesra dengan mudah bersama mereka dari semua latar belakang, dan beliau selalu hadir di pelbagai acara, tidak kira besar atau kecil.

"Beliau selalu meluangkan masa untuk orang lain, meskipun beliau memegang jawatan tertinggi di negara ini," kata Cik Fu. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan