Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai berpusu-pusu ke Bangunan Parlimen beri penghormatan terakhir

Barisan-barisan beratur panjang dilihat di luar Bangunan Parlimen hari ini (25 Ogos), sedang orang ramai berpusu-pusu memberi penghormatan terakhir kepada mendiang mantan Presiden S R Nathan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Aug 2016 04:47PM Dikemas Kini : 26 Aug 2016 01:33AM

SINGAPURA: Barisan-barisan beratur panjang dilihat di luar Bangunan Parlimen hari ini (25 Ogos), sedang orang ramai berpusu-pusu memberi penghormatan terakhir kepada mendiang mantan Presiden S R Nathan.

Secara keseluruhannya, lebih 20,000 orang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Encik Nathan di Bangunan Parlimen hari ini, menurut jawatankuasa penganjur Upacara Persemadian Negara. Jenazah mendiang ditempatkan di situ setelah dibawa dengan kereta keranda dari rumahnya di Ceylon Road pagi tadi.

Orang ramai berpusu-pusu beratur untuk ke Bangunan Parlimen bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Encik Nathan. (Gambar: Calvin Oh)

Perjalanan kereta keranda bagi Upacara Persemadian Negara untuk mantan Presiden itu akan bermula pada 2.00 petang esok.

Penghibur jalanan Lee Kian Chuan, yang tiba pada 7.00 pagi, merupakan orang pertama di barisan beratur di Bangunan Parlimen. Encik Lee, yang sudah beberapa kali bertemu dengan Encik Nathan di East Coast Park, berkata mantan Presiden itu baik hati dan akan berbual-bual dengan beliau setiap kali mereka bersua.

Cik Thenmoli Duraisamy, pembantu projek berusia 50-an tahun, juga keluar rumah awal pagi, sekitar 6.45 pagi, untuk memberi penghormatan terakhir kepada Encik Nathan. Beliau masih ingat lagi pernah bertemu dengan mendiang sekitar 10 tahun lalu secara kebetulan, apabila beliau menemani rakannya untuk mengunjungi bekas guru rakannya itu, Cik Nathan.

Beliau ketika itu disambut mesra oleh Encik Nathan apabila mantan Presiden itu tanpa diduga datang bertemu dengan mereka.

"Kami terkejut; Beliau kata 'Hello! Masuk, masuk' dan kemudian bertanya isterinya sama ada beliau sudah memberikan kami minuman," ujarnya.

Encik Chung Kwang Tong, 32 tahun, pentadbir bagi Persekutuan Taoist Singapura, juga mengenang Encik Nathan sebagai seorang yang tidak sombong.

Encik Chung berkata mantan Presiden itu "sama sekali bukan jenis yang akan berkata: 'Saya Presiden, jadi pangkat saya lebih tinggi daripada anda.'"

"Beliau menyayangi rakyat dan amat ramah, beliau melayan semua orang seperti seorang sahabat," katanya. 

Fraterniti bola sepak tempatan, termasuk Kelab Bola Sepak Warriors dan Kelab Bola Sepak Home Team, juga dilihat sedang beratur.

Kelab bola sepak Warriors dan Home Team beratur bagi memberi penghormatan terakhir.

Zulfadli Zainal, 28 tahun, dari kelab Warriors, berkata "sekurang-kurangnya kita boleh memberikan penghormatan terakhir kepada beliau." "Beliau sudah banyak menyumbang kepada Singapura," katanya.

Pemain bola sepak negara Baihakki Khaizan, bersama sekitar 80 pemain dan kakitangan Persatuan Bola Sepak Singapura, turut ke Bangunan Parlimen untuk memberi penghormatan dan mengenang sokongan mendiang kepada sukan tersebut.

PENGHORMATAN TERAKHIR BAGI MENDIANG S R NATHAN : Pemain bolasepak negara Baihakki Khaizan bersama sekitar 80 pemain dan kakitangan Persatuan Bolasepak Singapura mengenang sokongan mendiang kepada sukan tersebut.

Posted by BERITAMediacorp on Wednesday, 24 August 2016

"Saya takkan lupa kehadiran beliau memberi kami semangat. Dan beliau bukan hanya datang, duduk tetapi kadang-kadang jumpa kami, beri semangat, beri kata-kata sokongan sebelum pergi ke perlawanan-perlawanan. Jadi, itu adalah satu peranan besar dan kita rindu beliau," ujar Baihakki.

Seorang lagi yang datang memberi penghormatan terakhir, Cik Balqis HM berkata: "Mendiang S R Nathan adalah seorang yang peramah dan beliau seorang berjiwa rakyat. Saya pernah bertemu dengan beliau pada satu saat di Hyatt hotel.

"Pada waktu itu, saya cuma berjalan kaki sahaja di depan Hyatt Hotel, tetapi beliau berhenti, melambai tangan dan saya pun berjabat tangan dengan beliau." 

Cik Hayati Ali pula menyifatkan mendiang Encik Nathan sebagai seorang Presiden yang berjiwa rakyat dan prihatin kepada masyarakat Islam Singapura, khususnya.

"Presiden selalu tampil, sentiasa senyum. Tanpa apa-apa media ataupun perjumpaan. Itulah yang saya kenal, Presiden S R Nathan," ujarnya.

Pelajar madrasah, Nur Hidayah Mohd Hesham berkata: "Dia banyak berjasa, lagi-lagi dengan masyarakat Melayu di Singapura."

Sementara itu, sekitar tengah hari tadi, dalam cuaca matahari terik, seorang lelaki rebah ketika beratur. Beliau dirawat oleh para paramedik di khemah bantuan kecemasan, yang memberi jaminan kepada beliau, keadaannya akan bertambah baik selepas berehat dan beliau boleh memberi penghormatan terakhir kepada Encik Nathan nanti.

Sementara itu, suasana sayu menyelubungi Bangunan Parlimen, di mana jenazah mendiang Encik Nathan ditempatkan. Sesetengah orang awam menangis di hadapan keranda Encik Nathan, yang ditutup dengan bendera negara dan dikelilingi empat pengawal khas yang kepala mereka ditundukkan.

(Gambar-gambar: Channel NewsAsia)

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan